Rabu, Mei 27, 2009

APABILA BIBIR BERBICARA AKAN DIA, MINDA TERINGAT AKAN DIA...HATI AKAN MENJADI TENANG DAN ALAM TURUT TERSENYUM....

" SENYUMLAH BUAT DIRI KITA SENDIRI, DIRI ORANG LAIN DAN ALAM....'SENYUMAN' ITU AKAN HADIR DI DALAM HATI KITA........"

Assalamualaikum.... Kali ini aku hanya akan berbicara tentang 'kebahagiaan' yang kualami.. baru aku sedar, DIA sentiasa akan menggembirakan hati kita dengan apa cara sekalipun.. Mengapa kita masih ragu-ragu dengan cinta DIA yang maha Agung.

Ketika-ketikanya sedang kita berada dalam kesempitan dan kesusahan...lalu kita berusaha sedapatnya, akhirnya bertawakkal dalam mendapatkan penyelesaiannya...Ingat dan yakin dengan DIA.. maka akhirnya pasti berkesudahan dengan kegembiraan.. biarpun tidak dirasai atau dijangka oleh oranglain.. pasti itu adalah suatu keadaan yang membahagiakan.

Ada ketikanya, sewaktu kesukaran itu terpaksa ditempuhi kita akan bisa tersenyum apabila mengingati segala apa yang kita ada ini adalah dari DIA yang tidak pernah melupai kita.. sedangkan kita acapkali melupai DIA yang maha pengasih itu.

Aku hanya ingin berkisah dengan beberapa kejadian yang aku lalui belakangan ini.. sedang aku berada dalam keresahan dan kesulitan menghadapi beberapa dugaan hidup. Ketika itu aku memang berasa sakit dan payah melalui beberapa kekangan dan permasalahan dalam satu masa yang sama.

Suatu ketika dahulu, aku beranggapan bahawa aku pasti tidak akan dapat melaluinya segala kemungkinan yang bakal aku hadapi jika sesuatu itu berlaku...kerana dalam hati aku ada keraguan, ada kesangsian tentang masa depan yang bakal aku lalui.. Dalam mindaku ada kekeliruan dan ada prasangka atas segala yang akan aku hadapi tentang kekuatan dan kebolehupayaan aku menghadapi kemungkinan-kemungkinan itu... namun aku terus berserah... di bibirku sentiasa meniti ucapan-ucapan itu...malah dalam hatiku. Setiap langkah aku atur berserta dengan ingatan itu... walaupun sebenarnya itulah yang aku amalkan sejak dulu.. Cuma akhir-akhir ini, aku berasa amat dekat dengan DIA...kerana hadir NYA, dalam keikhlasan dan keredhaan itu... Setiap kali itu pula aku pasti berasa kebahagiaan itu...aku pasti berasa nikmat itu...aku pasti akan TERSENYUM sendiri... kerana aku ada DIA.


Dua tiga hari lalu, ketika namaNYA meniti di bibirku, ketika ada DIA dalam mindaku...walaupun situasi dan masalah aku banyak yang belum selesai....aku berasakan nikmat itu ...lalu aku tersenyum sendiri. Melintasi jalanraya yang agak sibuk itu menuju ke kereta..diberikan laluan dengan mudah... Beberapa kereta berhenti.. aku memandang ke pemandu-pemandu itu itu... Aku melihat mereka tersenyum...bukan hanya di bibir tetapi di mata dan wajah mereka.
Dalam hatiku turut tersenyum. Sesampainya aku di kereta, ketika membuka pintu untuk masuk ke kereta, aku mengangkat pandanganku kepada individu yang ada di deretan kedai itu..dan dua orang anak gadis remaja di hadapanku... dan semua mereka tersenyum. Lalu aku turut tersenyum membalas senyuman-senyuman itu... seikhlasnya, seadanya.. Manisnya senyuman mereka walaupun di bawah terik mentari yang menggiggit kulit, dan mencengkam rasa... untuk membuka mata pun, silaunya begitu menggugat perit.


Ketika aku memandu... masih lagi di bibirku meniti pujian buatNYA, di mindaku mengingati beberapa kejadian yang kulalui dan mengingati DIA atas segala pemberian DIA... di hati berkali-kali mengucapkan syukur... aku melihat sekelilingku masih tersenyum... Berhenti kerana lampu isyarat merah itu, aku melihat pemandu yang masuk ke simpang itu, ada yang sedang tertawa sesama penumpang kenderaan mereka, ada yang bermuka manis dan ada yang memaling kepada aku sambil tersenyum... sambil menunggu lampu isyarat kembali hijau, aku menoleh ke kiri....melihat seorang yangberumur sederhana sedang menunggu untuk melintas jalan...juga bertenang dan tersenyum.. Apabila berpaling ke kanan... aku melihat ke pemandu kereta bersebelahan...pemandu itu, lelaki cina pertengahan umur, sedang ralit melihat aku...dan di bibirnya menguntum senyuman. Ketika aku memandangnya, senyumnya semakin lebar dan dia menganggukkan kepalanya sedikit.... lalu aku membalasnya dengan meredupkan sedikit mataku. Aku pasti dia dapat melihat tindakan ku itu kerana aku dapat melihat dia dengan jelas...walaupun cermin tingkap kami masing-masing bertinta...Aku melihat ke belakang sedikit melihat anak-anak kecil itu bergelak tertawa dan senyum...dalam hatiku ini masih lagi mengungkapkan syukur berkali-kali..

Inilah pengalaman ku... Apabila bibirku ini berbicara akan DIA, mindaku teringat akan DIA... dalam cengkaman masalah dan kesihatan yang begitu mencengkam sekalipun... hati kita akan berasa tenang.. kita akan tersenyum, maka alam dan seisinya akan turut tersenyum....


Aku kira biarpun pengalaman aku ini bukanlah satu pengalaman begitu unik atau hebat namun aku terpanggil untuk mengkisahkannya.. untuk iktibar bahawa kepayahan, kesusahan, masalah, keperitan dan kesulitan dalam bentuk apa sekalipun...jika kita lalui dengan sabar, bertenang, redha, ikhlas...segalanya akan berlalu dan yang tertinggal hanyalah kemanisan atau kepahitan pengalaman itu.. Jika ia suatu kepahitan sekalipun semua akan kembali elok, baik jika kita terus bersangka baik dengan DIA, ALLAH yang kita cintai.


Sabda Rasullullah SAW yang bermaksud :
" Senyumanmu terhadap saudaramu merupakan sedekah..." (Riwayat At-Tarmizi)
Firman ALLAH yang bermaksud :
"Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata. Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian, dan menyempurnakan nikmatNYA kepadamu, serta menambahkan hidayah ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya) " - (Al-Fath : 1-2)
"Tidak ada balasan untuk kebaikan selain kebaikan (pula)" -(Ar Rahman:60)
"Dan bersegeralah kamu mencari keampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan begi orang-orang bertakwa, (iaitu) orang yang berinfak, sama ada pada masa lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) oranglain. Dan Allah mencintai orang-orang yang berbuat kebaikan ." - (Ali Imran : 133-134)

Rasullullah SAW merupakan seorang insan yang sentiasa tersenyum dan suka menggembirakan orang lain. Sebarang kegusaran dan kehibaan hati disembunyikan sedapat meungkin agar tidak diketahui oleh para sahabat. Abdullah bin Harith menyebut : Aku tidak pernah melihat seseorang yang sentiasa tersenyum melebihi Rasullullah.

dan ALLAH berfirman yang bermaksud,

" Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai ahkhlak yang sangat-sangat mulia." (Surah Al-Qalam : 4)

Jika begitulah peribadi junjungan kita itu, mengapa tidak kita sebagai hambaNYA dan umat baginda mencontohi sifat yang baik itu.. Namun pilihlah senyuman yang benar-benar dari hati kita... Atau lihatlah jenis senyuman yang ku senaraikan ini semoga kita akan dapat memilih senyuman yang terbaik...yakni senyum ketika bibir menyebut DIA, minda teringat DIA..

  • Senyuman egois = senyuman yang tidak bersahabat, terbentuk daripada perasaan dendam kesumat dan dapat menyakiti orang yang melihatnya.
  • Senyuman menggoda = senyuman liar yang bertujuan memperdaya dan mempunyai sesuatu tujuan untuk menarik minat lawan jenisnya.
  • Senyuman ketabahan = senyuman yang muncul daripada orang-orang yang perkasa dan hebat, mampu menghadapi segala sesuatu dengan tabah, tanpa keluh kesah..senyuman ini dirasakan oleh orang-orang yang berasa dekat dengan ALLAH.
  • Senyum berwibawa = senyuman yang menghiasai bibir orang-orang yang berwibawa, penuh kekuatan dan yakin dalam hidup. Senyuman ketika dapat melalui musibah yang berat dan jika masalah berat dihadapi senyum yang hadir bersifat matang.
  • Senyuman ketulusan = senyuman yang datang dari relung hati yang paling dalam. Muncul untuk membahagiakan, menghormati dan memuliakan orang lain dan menunjukkan keadaan sejajar antara bibir (lahiriah) dan hati (batiniah).

Sebuah senyuman yang ada dalam syariat Islam mempunyai nilai ibadah, sebuah sedekah yang mudah dan ringan... Senyuman itu akan terasa akan banyak fungsi dan peranan dalam hidup...mampu menambah keakraban dan hubungan...menjalinkan komunikasi yang mesra.....menimbulkan mahhabah yang erat.....dan mungkin ketika kita senyum tanpa melihat orang yang dilawan bicara sekalipun, senyuman itu akan menggetarkan mata batin kita dan menguraikan aura yang tersendiri.

  • Senyuman memperbaiki penampilan
  • Senyuman menambah keakraban
  • Senyuman menyampaikan makna yang tersirat
  • Senyuman indah menyejukkan hati
  • Senyuman melahirkan penghargaan dan penghormatan
  • Senyuman menghilangkan tekanan
  • Senyuman meningkatkan kesihatan
  • Senyuman menambah indahkan suasana
  • Senyuman menghilangkan kesepian dan kesayuan
  • Senyuman mengungkap ketenangan
  • Senyuman menghuraikan segalanya.....

Maka senyumlah untuk menambah ibadat kepadaNYA, ketika beribadah kepadaNYA, ketika menyebut namaNYA, ketika mengingatiNYA....maka semua akan tersenyum....

SEMOGA CATATAN INI MEMBAWA DAPAT MEMBERI SEDIKIT SARANAN DAN PENGAJARAN DAN MEMBERI BANYAK KEMASHALATAN, INSYAALLAH... DEKATKANLAH DIRIMU KEPADA ALLAH DAN RASULLULLAH....MAKA KETIKA ITU AKAN MEMBUAHKAN SENYUMAN....KEPADA KITA...DARIPADA KITA....UNTUK KITA.. SENYUMLAH...NANTI KITA AKAN TAHU...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan