Isnin, Mei 25, 2009

KESAKITAN ITU SEMAKIN SURUT...



Assalamualaikum...
Hari ini aku mencatat lagi dengan hati yang tenang... Biarpun dalam hatiku ini masih ada lagi sisa-sisa kesakitan yang entah dari mana datangnya...

Keadaan cuaca kini benar-benar meletakkanku dalam kesihatan yang tidak begitu selesa.. Kepanasan melampau ini membuatkan aku berasa pening berpanjangan.. Badanku pun terasa sangat letih dan penat..sedangkan hujung minggu ini aku hanya menghabiskan masa menyiapkan tugasan, menyemak kertas peperiksaan. Mungkin itu lebih meletihkan kerana memerlukan minda yang sentiasa memikir dan mentafsir..

Alhamdullillah kerana berada dalam lingkungan bidang ini.. semoga dapat kulaksanakan dengan baik dan seterusnya menjadi bekalan buat di akhirat kelak. Alhamdullillah kerana tanpa kuduga, kurancangkan... aku menceburi bidang ini. Dulu aku amat tidak menyukai bidang ini ... bukan kebencian...kerana ia bukan sesuatu yang berprestij atau menjanjikan hidup mewah dan seumpamanya seperti bidang lain. Namun kini, aku bahagia dalam bidang ini. Aku berasa betapa aku bertuah ada dalam bidang ini... dan aku berasa begitu kaya dalam ertikata aku sendiri. Aku punyai segalanya melalui bidang ini. Terima kasih ALLAH... dengan lorong yang KAU tentukan buatku ini.



Ketika kita mulai redha... kepayahan , kesakitan, keperitan dan halangan dan dugaan itu semakin hilang dan kita akan merasai segala nikmat semua yang kita lalui... Biarpun ketika ini sebenarnya ada sedikit kesakitan yang tertinggal namun ia bukan penghalang untuk aku menjadi bahagia.


"Dan jika kamu menghitung nikmat ALLAH, tidaklah dapat kamu menghinggakan " (Ibrahim:34)


" Maka nikmat Tuhan yang manakah yang engkau dustakan" (Ar-Rahman:13)

Dengan segala nikmat yang pernah aku terima, kenapa aku tidak bersyukur. Kenapa aku perlu berasa sakit jika sedikit permintaan dan permohonan aku tidak diperkenan olehNYA. Aku ingin terus menjadi orang yang sentiasa bersyukur dan berterima kasih. Ya ALLAH, semoga KAU tidak meninggalkan aku walau sesaat pun. Dengarlah permohonan aku ini...

Aku ingin terus menjadi orang yang memberi manafaat kepada oranglain. Amanah MU akan aku pelihara sebaik mungkin. Apa yang aku miliki ini lebih bermakna daripada segalanya. Aku tidak akan bisa menukar penglihatanku ini dengan segunung emas..Aku tidak mampu menjual pendengaranku ini dengan satu bukit permata. Aku tidak akan menukar lidah dan bicara aku ini dengan hamparan mutiara... Ya ALLAH, aku tidak akan menukarkan, menggadaikan, menjual atau apa sahaja sekalipun iman dan taqwa mahupun selautan dan melangit harta benda di dunia ini...

Dengarlah aku, Ya ALLAH...Izinkan aku berada dalam dakapan kasih sayang, iman dan taqwa kepadaMU hingga akhir hayatku. Izinkan aku untuk...

"Sebab itu berpegang teguhlah kepada apa yang AKU berikan kepadamu dan hendaklah termasuk dalam golongan orang-orang yang bersyukur." (AL-Araf:144)"

Kesakitan itu sudah semakin surut...
Aku telah bisa mengikhlaskannya...
biarpun mungkin tidak keseluruhannya...
namun akhirnya pasti akan sepenuhnya...
begitu juga, aku telah bisa memaafkan... memaafkan...memaafkan...
biarpun sukar untuk aku melakukan itu...

ALLAH itu maha pengampun dan pemaaf.. Begitu juga junjungan mulia, Nabi Muhammad SAW.. Mengapa bukan aku? Mengapa tidak aku? Kesombongan, kedegilan itu tidak akan membawa apa-apa makna. Mendoakan kejatuhan orang lain juga bukan budaya aku... Alhamdullillah, tiada dalam kamus hidupku ini segala sesuatu yang berlaku itu tanpa aku rujukkan kepada DIA yang maha mengetahui.

Sabda baginda Rasullullah SAW yang bermaksud :
" Sesiapa yang ditinggal mati oleh kekasihnya dan dia bersabar maka pahalanya adalah syurga. Sesiapa yang diambil belahan jiwanya daripada dunia dan dia bersabar maka syurga penggantinya. Sesiapa yang kehilangan anaknya dan dia bersabar maka akan dibangunkan sebuah rumah badinya di dalam syurga "

Firman ALLAH yang bermaksud :

"Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu " (Al-Ra'd:24)

" Apabila engkau mendapati penjagaan ALLAH, Maka tidurlah dengan lelap kerana sekalian urusan akan berjalan secara aman."


Firman ALLAH yang bermaksud :
"Cukuplah ALLAH menjadi penolong kami dan ALLAH adalah sebaik-baik Pelindung. Maka mereka kembali dengan nikmat dan kurnia (yang besar) dari ALLAH, mereka tidak mendapat bencana apa-apa, mereka mengikuti keredhaan ALLAH, Dan ALLAH mempunyai kurnia yang besar.." (Ali Imran: 173-174)



"Dan hanya kepada ALLAH kamu bertawakkal, jika kamu benar-benar orang yang beriman." (Al-Maidah :23)


Aku tidak tahu bagaimana untuk menginterprestasikan yang ada dalam hatiku ini... Namun sesungguhnya ada banyak kelegaan dalam hatiku ini.
Aku berasa senang biarpun ada banyak kesusahan di sekelilingku...
Aku berasa selesa biarpun ada kesulitan dan keperitan di sekitarku...
Aku terasa ingin selalu tersenyum , biarpun mungkin ada kesedihan dan kesayuan di sisiku..
Aku berasa gembira biarpun ada kelukaan dan kehampaan di lingkunganku...Biarpun apa yang ada di sekelilingku ini aku amat bahagia dan bersyukur kerana DIA yang aku cintai sentiasa bersamaku setiap saat dan ketika.....

Jika aku dapat membuktikan alangkah baik... namun aku tidak mahu menjadi riak
Jika aku dapat memperlihatkan alangkah baik... namun aku tidak mahu menunjuk-nunjuk.
Jika aku dapat memperkatakan alangkah baik....namun aku bukan seorang yang sombong
Jika aku dapat menjelaskan alangkah baik...namun aku bukanlah arif...
Biarlah apa mahuku ....biarlah kalian tidak tahu... biarlah apa keinginan dan harapanku... biarlah kalian tidak mengerti..

CUKUPLAH DIA BAGIKU yang tahu, yang faham, yang mengerti...
bahawa kesakitan beransur tiada...
kesakitan itu telah semakin surut....
Semoga kesakitan itu akan terus pergi....

Wassalam...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan