Jumaat, Mei 08, 2009

KISAH AKU DAN DIA (UM..SUATU MASA LALU..SATU KEBAHAGIAAN)


Assalamualaikum.... Hari ini aku ingin mencatat lagi tentang Kisah aku dan dia. Sebenarnya aku hanya memindahkan catatan ini daripada salah satu catatan yang lama...kerana ketidaksesuaian catatan ini dalam kenangan itu.
Ada yang menyatakan mengenangkan hal-hal lalu merupakan satu kerugian. Kita seharusnya memandang ke hadapan, bersangka baik dengan apa yang akan berlaku di hadapan kelak tanpa membawa kenangan lama. Namun bagi aku... kenangan lama itu berpengajaran dan membawa sesuatu yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit, harta benda... hanya kepada mereka yang terlalu mengikut kehendak hati dan runtutan perasaan serta tidak tahu membezakan kewajaran sahaja yang akan terjerumus ke kancah kekhilafan itu berulang kali...tidak mampu berubah mahupun menggunakan pengalaman itu sebagai guru. Aku berharap jika ada yang membaca semua catatan aku tidak akan menyalahtafsir niat dan tujuan blog ini aku 'lahirkan', apatah lagi catatan di halaman ini berkisarkan cinta, kegagalan dan kekesalan... Hanya mereka yang berfikir akan melihat dan mengambil pengajaran daripadanya. Aku memang menggunakan wahana cinta dan yang jelas pengalaman aku sendiri, kebanyakannya.... juga pengalaman orang lain yang disisipkan sebagai cara, kaedah dan pendekatan untuk memberi sedikit pesanan dan ingatan kepada yang lain.

DIA ( kisah aku dan dia yang membahagiakan dan menggembirakan )
Cinta itu buta... mungkin ada benarnya. Kisah ini aku paparkan tentang dia yang mengasihi aku tanpa mengira usia aku.Ketika itu aku melanjutkan pelajaran aku ke Institusi Pengajian Tinggi yang lain. Membaiki hidup masa depan aku. Walaupun susah untuk aku meneruskan sambil bekerja. Namun bukan itu ukuran kejayaan...malah kejayaan yang melalui getir dan ranjau itu lebih manis rasanya. Mungkin sebenarnya aku terpaksa untuk menyertai aktiviti kokurikulum...mujur aku punya kelebihan dalam salah satu bidang kokurikulum itu...
Wajib aku menyertai kokurikulum untuk mencukupkan PNGK ke tahap yang dapat kucapai kini. Disebabkan aktiviti itulah aku bertemu dia. Dia mempunyai ciri-ciri lelaki yang aku idamkan. Bukan terlalu sempurna..tetapi agak sempurna dari sudut pandangan aku ini. Wajahnya sederhana.. berkumis kebiru-biruan. Kemas dan rapi. Dia tidak begitu tinggi..tapi ideal dengan susuk tubuh yang segak dan kemas. Dia mempunyai sepasang tangan yang cantik pada pandangan aku. Aku akan sentiasa mencuri-curi pandang jari-jemarinya yang cantik dan sempurna itu. Suatu ciri yang aku kira tidak akan dipandang oleh mana-mana perempuan. Itulah aku...Betapa kacak pun seorang dia, aku tidak akan tertarik sehingga aku dapat meneliti jari-jemarinya. Jari-jari runcing dan menguja aku. Biarlah...sebab semua orang punyai pandangan dan pendapat tersendiri. Wajahnya ada ciri-ciri wajah kecinaan dan sedikit seperti Arab, memang amat menarik minat aku kepada dia. Tetapi usah salah faham...bukan cinta, cuma minat! disebabkan dia punyai ciri-ciri yang aku suka.Satu lagi, aku tidak berminat dengan dia yang sebaya dengan aku...apatah lagi lebih muda. Aku mengagumi dia itu....tidak lebih dari itu. Selain itu, dia seorang yang mudah mesra, peramah, ada daya kepemimpinan yang tinggi dan amat lucu. Kewibawaannya terserlah.. dia mampu mengendali dan mengawal suasana.. dia akan membuatkan semua orang berasa selesa, tenang dan gembira. Semua yang aku suka pada dia ada pada dia. Tetapi dia 12 tahun lebih muda daripada aku. Mustahil bagi aku untuk menerima dia. Tentu ada seorang aku yang sangat bertuah mendampingi dia, kelak. Keindahan fsn ciri-ciri seorang lelaki yang aku suka cukup pada dia. Tetapi itu tidak mengizinkan aku untuk membuka hati aku kepada dia. Namun, adik itu tetap aku manjakan. Dia memang amat istimewa, matang..berfikiran terbuka. optimis walaupun dalam usia begitu muda. Aku tidak pernah menyangka, tidak pernah menduga..akan ada seorang dia seperti dia dalam hidup aku. Alhamdullillah, Aku mengenali dia...walau sekejap. aku sentiasa berasa dihargai ketika bersama dia... aku bisa berbicara pelbagai topik dengan dia, daripada sukan, ekonomi, sosial, politik....apa sahaja. Dia tidak pernah memperolok atau memperlekeh aku..walaupun aku tidak tahu. Kata dia aku ada sesuatu yang dia suka...dan sehingga kini aku tidak pernah tahu.
Aku sangat rasa bersenang hati dengan dia. Dia sering membuatkan aku tertunggu-tunggu dia. Dia pula sering menanti aku pada laluan ke dewan aktiviti. Setiap kali ingin bertemu aku, dia akan mengambil apa sahaja yang boleh dijadikan hadiah kepada aku. Daun-daun kering...di atasnya dicatat nama aku dan dia. Bunga-bunga lalang yang disusun menjadi jambangan kecil. Ranting-ranting unik yang menarik. Apa sahaja.. cokelat, pen, gula-gula...apa sahaja yang boleh dijadikan hadiah. Aku sendiri akan ternanti-nanti dia sekiranya dia lambat sampai....menanti apakah jenis hadiah dan kejutan daripada dia. Aku gembira dengan pemberian-pemberian itu. Aku senang dengan ingatan-ingatan itu, walau hanya cebisan kecil kertas daripada buku catatannya yang tertulis kata-kata indah. Aku rasa berteman ketika bermasalah. Bukan tiada teman lain yang boleh membantu aku...cuma, aku lebih berasa selesa jika berbicara dengan dia. Dia punyai buah fikiran yang bernas..Aku rasa teruja, sekiranya aku lambat tiba dan dia terdahulu... dia akan berlari-lari mendapatkan aku. Dia menghormati aku..dia menggembirakan aku...dia membuat aku berasa dihargai.Aku ingin sekali menerima dia dalam hidup aku...menjadi pemimpin yang utama dalam hidup aku. Menjadi nakhoda berkaliber dalam kapal pelayaran hidup aku.
Namun aku terikat dengan prinsip aku..Entah apa yang ada dalam hati aku ketika itu. Aku berasakan hati aku 'berbunga-bunga' setiapkali bertemu dengan dia. Rasanya aku juga adalah orang yang paling gembira ketika dia memanggil aku sayang dan membahasakan diri abang.. di depan orang dia akan tukar panggilan itu.. hanya ketika aku di sisi dia, dia akan menggunakan panggilan. Tidak tahu kenapa aku tidak pernah menghalangnya.. Sehingga suatu hari ketika aku menjelaskan prinsip aku...dia menyelarku dan menasihati aku. Usahlah aku menjadikan kesombongan(prinsip) itu satu pegangan dan hiasan hidup aku...kerana keangkuhan itu hak DIA. Kata dia lagi, sekiranya prinsip itu tidak bertepatan dengan syariah Islam...prinsip itu boleh dilanggar, dimansuh.. Katanya lagi, dia mencintai aku... hanya dalam tempoh tiga bulan perkenalan kami dia amat tertarik kepada aku...kerana ALLAH. Sedangkan ketika itu aku dalam keadaan berat badan melebihi 90 kilogram...gempal? Gemuk? Cabi? Apa-apa lagi.... Apa yang dipandang dan dilihat pada aku.. kata dia lagi, aku sangat 'cantik' sebagai seorang wanita yang dicari-carinya. Katanya lagi..berilah dia peluang mencontohi Rasullullah SAW, mencintai dan memperisterikan Saidatina Khadijah dengan ikhlas, setia... jujur, suci kerana ALLAH. Kata dia lagi, usia itu bukan ukuran suatu cinta itu...kerana dia benar-benar ingin aku dalam hidupnya.
Dulu aku tidak tahu bagaimana perasaan boleh hadir di hati dia... aku tidak faham. Walaupun aku telah melalui apa yang mungkin dikatakan cinta itu berkali-kali. Aptah lagi buat seorang dia yang muda belia seperti itu kepada seorang aku yang tidak sepadan dengan aku. Namun sebenarnya kini aku sudah mengerti..
Buat sekian kalinya seorang dia meneleku di hadapan aku. Kali ini bukan dengan tangisan tetapi dengan bunga telur di tangan...yang pada kad ucapan terimakasih di lidi bunga telur itu tertera nama aku dan dia...bilalah dia menulisnya aku tidak pasti. Sedangkan aku sendiri yang menyediakan bunga itu dengan tangan aku ini untuk persembahan akhir sesi ko-kurikulum itu.. Kerana persembahan budaya yang kami pilih memerlukan persiapan seperti itu. Aku tidak dapat membayangkan perasaan aku ketika itu. Sangat pelik dan unik.
Dan pada suatu hari dia tidak hadir ke aktiviti kokurikulum itu...namun dia menitipkan salam kepada aku. Dalam sehelai kertas, dia mencatat "...Kecintaanku, doakan kekasihmu ini dapat melalui peperiksaan akhir ini dengan jaya...MFR." Lantas aku menemui penyampai pesanan itu, bertanya peperiksaan apa yang dia sedang duduki...pastinya aku terkejut. Dia yang romantis itu menduduki kertas Bahasa Arab...Dia, antara siswa terbaik di Akademi Pengajian Islam. Aku tidak pernah tahu selama ini. Aku juga tidak menyangka semua itu. Yang aku tahu namanya, dan asalnya dari Pulau Borneo..
Kata dia penyampai pesanan itu... Dia menjadi perhatian dan kegilaan siswi, tetapi dia memilih aku.. kerana aku adalah aku yang tiada tandingan di mata dan hati dia...Namun, aku berfikir... aku menyukai dia. Cinta? Mungkin tidak...tetapi kata dia, cinta itu boleh dipupuk selepas nikah. Aku dan dia? Nikah? Tiada dalam minda aku ini...tidak pernah terfikir. Dia jauh lebih baik daripada aku. Dan....dia jauh lebih muda daripada aku ini! Aku tidak mampu melaluinya...Apatah lagi berdasarkan pengalaman aku yang lalui sebelum ini yang membentuk pendirian aku ini. Bagi aku restu itu adalah sangat penting. Perkahwinan tanpa restu tidak akan menjanjikan kebahgiaan yang sebenar. Aku sedar siapa aku. Layakkah aku berada di sisi dia ... dengan pelbagai kelebihan ada pada dia, tentu Allah akan memberikan yang terbaik. Siapa tahu.. Itulah doa aku buat dia..buat dia yang sangat kusenangi itu.
Pada jamuan akhir itu, dia memberi aku nombor telefon..tetapi malangnya dia tidak mengambil nombor telefon aku.. itu sahaja kesilapan dalam kisah aku dan dia. Sebelum berpisah, dia berkata..jika ada jodoh, berpisah oleh benua...jarak masa, aku dan dia pasti bersatu.. Tapi itu kata dia. Kata aku, cukuplah setakat itu... dan nombor telefon itu aku perosokkan ke dalam tong sampah ketika menuju ke kereta. Bagi aku tiada jalan yang boleh aku tempuh bersama dia... maka cukuplah. Cukuplah hubungan itu... Aku tidak mahu dia berasakan kerugian. Dia punyai harapan dan masa depan yang cerah. Dia, lelaki baik..pasti DIA akan memberikan dia suri yang solehah dalam hidupnya. Itulah juga doa aku buat dia... Ketika itu aku tidak mengerti... Kini, aku tahu dan memahaminya..dengan jelas. Cinta akan hadir tanpa dipaksa, akan timbul dengan sendirinya..kerana aku mencintai dia, sehebat dia...dan aku merasai kesakitan itu. Kesakitan membuang cinta itu daripada hidup aku..InsyaALLAh, selagi dia, dia dan dia....ada di jalan benar, aku pasti mencintai dia. Biarpun setiap satunya, merupakan cinta yang berbeza tapi cinta itu pasti datang dari DIA. DIA lah sandaran cinta yang sejati.Buat dia yang aku kisahkan ini..pertemuan aku dan dikau di IPTA itu...merupakan masa-masa yang berharga dan membahagiakan aku... Semoga ketika ini, dikau bahagia di samping seorang yang bergelar isteri yang dikau cintai kerana ALLAH..Terima kasih memberikan aku kebahagiaan, rasa dihargai, rasa disayangi ketika itu... MAAFKAN AKU, meninggalkan dikau tanpa berita. Sesungguhnya, aku ingin dikau tahu, kebahagiaan orang-orang yang aku kasihi, adalah keutamaan aku.. semoga dikau mengerti..seperti aku kini yang lebih mengerti. Ketika itu aku tidak terfikir kesakitan yang mungkin dikau alami...tapi kini aku telah tahu kerana aku telah duduk ditempat itu..tempat orang yang ditinggalkan..
Ditinggalkan untuk dia mencari kebahagiaannya.. kerana tiada apa yang dapat aku berikan kepada dia. Aku gembira kerana DIA mengizinkan aku menyintai dia... biarpun cinta itu hanya hadir dalam hati dan naluri aku ini. Aku kini sangat memahami. Iman di hati ini bukan wujud hanya kerana seorang dia tetapi kerana DIA yang selayak dicintai. Apakah akan ada kesedihan jika orang yang dicintai menuju ke jalan bahagia.. Mungkin aku tersilap tetapi aku tahu apa yang aku cari dalam hidup aku. Aku bermohon kepada DIA...DIA pasti memberikannya...biarpun lambat mahupun tiada di dunia ini... Aku pasti DIA pasti ada sebab. Mengapa seorang aku mahupun seorang dia mahu mempertikaikannya. Itu hak DIA, hanya hak DIA.. Semoga sesiapa yang membaca catatan ini akan dapat memahami. Selagi kita diuji, diberi pelbagai cubaan....pasti DIA amat menyayangi kita. CUKUPLAH DIA UNTUKKU... DIA pasti membahagiakan aku, DIA pasti menyayangi dan mengasihi aku.. aku tahu itu..
Rasanya agak panjang catatan aku buat dia.. Dia pasti mengerti, jika dia tahu aku sudah mengerti kini.. Segala yang baik itu datang dari ALLAH dan buruk. lemah dan daif itu adalah kelemahan aku sendiri. Semoga catatan ini bermanafaat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan