Jumaat, Julai 30, 2010

APABILA MENTARI HILANG SEKETIKA...

Aku kira dalam menjalani hari-hari yang lalu dan mendatang, akan banyak perkara yang berlaku begitu menguji kesabaran dan kekuatan iman kita...

Begitu juga, apa yang sedang aku alami... Setiap satu perkara yang ada waktunya seperti aku duga, namun banyak juga perkara-perkara yang tidak terduga atau terlintas di minda ini.. Ada pula yang menyedihkan apabila setiap apa yang kita berikan tidak pernah dihargai.. malahan kita akan dibanding-bandingkan... Tidak mengapa jika sesuatu itu untuk kebaikan bersama, namun amat aku kesali apabila sesuatu itu hanya berpihak kepada pihak-pihak tertentu.. Dan jika yang menilai dan menghukum itu adalah yang wajar, tidaklah pula terasa dalam hati ini.... tetapi apa yang berlaku ketika ini adalah berkaitan sikap ingin melepaskan diri, keuntungan bagi diri sendiri dan mengenakan oranglain... Mereka yang tidak sedar, siapa mereka sebenarnya... Setiap apa yang ada ini pun orang lain yang banyak menyediakan untuk mereka... cuma sekali dua berjasa, tetapi bukanlah sesempurna mana, hidup sudah menjadi besar diri dan melihat orang lain kecil dan tidak berharga... Semua itu adalah disebabkan sikap angkuh dan takjub kepada diri dan kehebatan yang mungkin dirasai hanya milik mereka...
Apabila seseorang itu mencapai tahap pelajaran tinggi pada usia muda tidaklah juga menjadi ukuran kehebatan bagi mereka.. Banyak lagi mereka yang lebih hebat tanpa pengikhtirafan ijazah dan sijil yang disangkakan amat hebat itu..

Sebenarnya itulah antara yang aku alami... dalam kerjaya aku ini sebenarnya tidak harus berlaku perkara-perkara yang sedemikian.. Jika aku ini diletakkan pada suatu kedudukan, maka tidaklah aku yang pinta... Aku tahu setiap mereka di sekeliling aku ini hebat, tidak kurang antara satu sama lain... Aku pun sudah banyak kali mengalah... dan aku sudah melepaskan banyak kepercayaan... mungkin kerana ada satu kekurangan yang aku lakukan.... maka aku dianggapkan sebagai memberikan nama buruk dan menjatuhkan maruah seperti anggapan mereka itu... Ini rasa marah yang wujud dalam hati aku ini... " Usah menepuk dada, jika banyak tugas-tugas yang kalian patut lakukan, aku buat dan siapkan semuanya... Usah berlagak kata dan berhidung tinggi... apabila setiap kesilapan itu aku tampung untuk menutup rasa malu dan aib kalian, sedangkan dalam masa sama kalian mencemuh aku ini... usah berlagak pandai, apabila setiap kata, tugas itu diberikan suatu nasihat dan tunjuk ajar untuk menambah baik dan memberikan lebih gah pada pandangan orang lain... Aku mungkin tidak sempurna seperti orang lain, tetapi aku hanya berniat baik membantu... Aku juga bukanlah sempurna tetapi aku ingin berkongsi dan memberikan kerjasama untuk menambah sesuatu yang baik.... Tetapi, ada kalanya aku berasa sedih dan kesal... membantu, walaupun seringkali aku beristigfar kemudian memaafkan.... Perkara itu sering berulang... Aku bertambah tidak suka, malah meluat dengan kalian.."

Apabila berfikir semula, rasa marah itu akan memudaratkan diri aku sendiri... maka aku meminta nasihat rakan-rakan yang lebih banyak pengalaman... bersama ini aku lampirkan nasihat dan pendapat mereka yang aku kasihi.

1. Berhubung dengan wajar atau tidak mengambil tindakan seperti yang tertera, pada pendapat saya ia terletak pada diri sendiri.
Apa yang penting, banyakkan mengadu kepada ALLAH, mintalah bantuan dan petunjuk daripadaNya. Dia Maha Mengetahui. Tentang karenah anak-anak buah tu... di mana-mana pun ada golongan mcm tu. Semoga tabah dalam melalui ujian ini.

2. Sememangnya sudah jadi karenah manusia.. jadi Kesabaran sahaja yang utama,, usah pedulikan semua cabaran dan ujian itu, jalankan tugas sebaik mungkin demi bangsa dan negara.. nescaya setiap sen yang kita dapat dari usaha-usaha berganda kita itu adalah berbaloi.. Teruskan usaha anda...


3. Tidak perlulah sehingga meletakkan jawatan atau menurut kemahuan orang-orang baru tersebut. Terpulanglah kepada pihak pengurusan. Rasanya mereka lebih tahu apa yang terbaik. Bertukar pun bukan cara terbaik untk selesaikan masalah. Masalah yang menunggu mungkin lebih lagi. Cuma kalau ingin suasana yang baru mungkin cara itu boleh difikirkan. Pedulikan kumpulan baru itu. Dasar tertentu mungkin menjadikan mereka tidak mnghormati senior. Mereka selalu bersangka semua orang sama, baru dan lambat. Masalah ini wujud di mana- mana. Bersabar sahajalah. Allah Maha Mengetahui.

4. Pesan Allah jangan menghukum. Jangan juga membenci atau menghina kerana mungkin kaum yang kita hina itu lebih baik daripada kita pada hari ini atau akan datang. Mungkin juga sebaliknya. Usah juga terperangkap dengan zon selesa hingga menyebabkan kita enggan berganjak daripada posisi sedia ada. Sentiasa bersangka baik dengan takdir Allah. Ingatlah bahawa Kita tidak tahu apa yang ada di hadapan kita. Hari ini mungkin kita sangka ssuatu itu baik untuk kita, tetapi esok belum tentu. Mungkin itulah yang akan menjadi kebanggaan kita. Mungkin juga kita sangka apa yang ada sekarang adalah yang terbaik untuk kita tetapi rupanya itulah bencana yang paling menyiksa. Apa yang penting sekarang adalah kita perlu buktikan bahawa kita memang hebat dan terbaik! Orang yang hebat & terbaik takkan takut pada cabaran. Bagi orang hebat cabaran adalah peluang. Inilah peluang buktikan bahawa kita adalah penyelesai masalah. Ibarat doktor pakar... bagilah pesakit apapun... dia boleh uruskan... tidak pernah merungut.. tidak pernah mengelak... setiap pesakit dirawat dengan sabar.... semakin tinggi kepakarannya, semakin kronik & tenat pesakit yang perlu dirawatnya... berbeza dengan golongan seperti kita.... semakin tinggi kelulusannya, semakin mudah kerjanya..... sepatutnya kita ikut macam doktor.... yang ada PHD perlu berhadapan kumpulan paling lembab dan nakal... sebab mereka itu adalah ibarat pesakit paling kronik yang hanya akan sembuh apabila dirawat oleh doktor pakar... malangnya realiti hari ini.. mereka sedemikian diurus oleh golongan kita paling bermasalah... . Kesimpulannya, saya percaya anda adalah seorang HEBAT! jadi, jangan takut dengan pesakit kronik kerana memang itulah tugas untuk orang yang hebat!

5. Anda patut menyuarakan hal ini dalam mesyuarat pentadbiran atau pengurusan tanpa menyebut nama-nama mereka yang berkenaan secara khusus. Mungkin pihak lain tidak menyedari hal ini. hal ini juga secara tidak langsung dapat menyedarkan kumpulan tertentu yg mungkin hanya berani bergosip di belakang. Sebagai senior dan sudah lama di sana, saya rasa suara golongan senior akan didengari dan diterima pakai oleh pihak pentadbir, kerana mereka tentu telah dapat menilai kerja kita sebelum ini. Berhubung beban tugas yang berat berhubunglah dengan orang atasan yang berkenaan supaya mereka memahami keadaan sebenar. Jangan tergesa-gesa untuk berpindah kerana peluang peningkatan dalam kerjaya cerah di sana untuk anda. Soal siapa yang patut jadi Ketua serahkan sahaja kepada pihak pentadbiran untuk menentukannya. Jangan sampai nanti ada puak lain pula yang akan melihat kita sebagai gila kuasa. Terkadang niat baik kita boleh disalahertikan. Wallahualam.... selebihnya mintalah petunjuk dari Allah.

6. Buat solat Istikharah dan minta pertunjuk..rasanya pilihan untuk berpindah baik juga..lagipun sudah agak lama di sesuatu tempat itu akan menimbulkan situasi berbeza.. sedangkan ikut pandangan kaunseling, seeloknya selepas 5 thn kita elok berubah angin....itu sekadar pandangan..moga bejaya menanganinya dengan bijaksana..

7. Pertama-pertamanya tahniah kepada kerana tanggungjawab yang begitu banyak dipikul dapat ditangani dengan bijaksana....secara tersiratnya tanggungjawab diberi adalah atas rasa percaya.... memang ia membebankan tetapi kita perlu ingat.. Setiap tanggungjawab yang diberikan kepada kita bermakna kita mampu untuk menguruskannya.....bukan senang untuk dipercayai... Kita kena fikir secara positif... Apabila kita rasa ia sebagai beban, ia akan jadi beban tapi kalau kita fikir itu tanggungjawab...insyallah, Allah akan permudahkan....lagipun akhir zaman ni...bila tanggungjawab diserahkan kepada mereka yang bukan mahir maka kita tunggulah kehancuran....kalau kerja yang diamanahkan kepada kita boleh menjadi sinar kepada yang lain kenapa tidak untuk kita menjadi matahari pada yang lain... anggaplah sahaja sekumpulan rakan itu parasit yang menjadikan kita lebih kuat dan yakin... tetapi kita kena tegas dalam mempertahankan prinsip.. kalau merasakan jawatan sekarang lebih sesuai, nyatakan dengan yakin dan buktikan.. insyallah! Allah itu Maha mengetahui apa yang terbaik untuk kita.......Saya akan doakan semoga semua urusan dan usaha akan dipermudahkan oleh Allah, insyallah.. senyum dan ceria selalu..

8. Apapun, sabar itu penting. Apapun keputusan @ tindakan yang ingin dilakukan, fikirkan dengan tenang. Insyaallah, Allah akn bersama orang yang sabar & tenang. Jika rasa teraniaya, berdoalah banyak-bnyak sebab doa org yang dianiaya, makbul. Yang bagusnya pula, apabila kita difitnah, semua pahala orang itu diserah kepada kita... dosa kita kita pula akan mereka terima.. tetapi kalau kita sabarlah! Selanjutnya, bacalah buku "Supaya Gelisah Bernilai Ibadah", bab Bagaimana Menangani Kritikan Pedas. Antara kata2nya" Org yang tidak memiliki kelebihan & kemajuan hidup tidak akan pernah diganggu oleh orang lain. Ibarat anjing yang mati tidak akan pernah dicaci & dihina. " Rasulullah SAW. juga dihina, dicaci maki, difitnah & dilayan dengan kasar. Lalu Allah turunkan ayat AlHijr,85 brmaksud "Maka maafkanlah mereka dengan cara yang baik" & Al-Ma'arij,5 : "Maka bersabarlah kamu dengan sabar yang baik". Wallahualam

9. Kakak tumpang seronok dengan kejayaan adik dalam bidang ini... usah pedulikan kata orang selagi kerja yang kita buat adalah sempurna dan tidak membebankan sesiapa...ini dugaan Allah..banyakkan bersabar.. berhenti atau menarik diri daripada sesuatu jawatan atau tugas atau berpindah, bukan penyelesai masalah. Kalau kita ikutkan sangat kata orang sampai bila-bila pun tidak akan ada yang sempurna...kita manusia jadi lumrah kalau tersilap di mana-mana... cuba renung-renungkan, mungkin ada kesilapan kita di mana-mana kerana kadang-kadang kita tidak perasan kita ada buat silap...mudah-mudahan Allah memberikan adik ketabahan....

Dan, aku berasa kemarahan yang ada dalam hati aku ini semakin reda dan semakin ketenangan itu menghampir. Aku berpendapat; seperti kata-kata nasihat kepada orang lain itu..." Buatlah apa sahaja kebaikan, dengan niat yang baik kerana Allah... maka akan hadir kebaikan, biarpun lambat... tiada yang lain selain kebaikan kerana Allah juga... "

Semoga aku terdiri dalam golongan orang-orang yang sabar dan bersabar, serta redha dengan ketentuan DIA kepada aku ini. Setiap satu yang dimulakan dengan niat yang baik akan memperlihatkan kebaikan itu pada akhirnya, biarpun jalan-jalan di hadapan kelak itu berliku dan jalan-jalan yang dilalui ini genting dan runcing... melalui dengan sabar kerana DIA Maha mengetahui akan segala sesuatu... Pada kita puas mencari mentari yang ditutupi awan mendung, namun apabila menjelma menyinari titisan jernih awan itu... maka kita akan melihat pelangi indah terpancar dek sinar mentari yang hilang itu....

Biarlah orang tidak melihat atau nampak aku ini... namun aku tidak tersisih daripada kasih-sayang Allah al-azim..

Selasa, Julai 20, 2010

BUNGA-BUNGA MEKAR MENGHARUM

Apabila melihat anak-anak gadis kecil yang comel di sekelilingku, aku begitu bersyukur adanya mereka untuk menyerikan hidup bahagia bersama keluarga... Dan gadis-gadis mungil dan masih murni hati ini bakal membesarkan menjadi 'bunga-bunga mekar' yang mengharum dan mengindahkan lagi taman-taman dunia dan memperindah pemandangan di hari nurani..

Aku kira jika mekarnya dengan sempurna tentu akan lahir banyak pemimpin dan serikandi yang mantap jati diri dan kukuh peribadi. Namun kepada kita, ibu bapa dan masyarakatlah yang berperanan memastikan kuntum-kuntum kudup bunga ini akan mengelopak sempurna dan memberikan ruh murni dalam hati-hati si manis jelita ini..

Apabila aku melihat perkara-perkara jahil di mana-mana; dan mendengar pelbagai kisah yang mengecewakan itu.. aku bertanya-tanya dan menjawab-jawab sendiri... di manakah silapnya.. di manakah kekurangan.

Orang tua-tua selalu berkata.. " Menjaga kerbau /lembu sekandang lebih mudah daripada menjaga anak perempuan seorang.."
Betapa tanggungjawab menjaga maruah seorang yang bergelar perempuan, gadis, wanita, ratu, puteri, isteri, anak perempuan, waima seorang ibu itu bukanlah mudah... Tercarik sedikit pada ketika kudup berputik sudah meninggalkan kesan yang mendalam kepadanya..

Dan bagaimanakah pula semua gelaran itu boleh menjadi jalang, sundal, betina, bini yang sebenarnya tidak seharusnya wujud sekiranya mereka dididik sempurna... Bunga-bunga mekar yang tidak sempurna. Jika sempurna tidak berbau dan tiada keindahan yang asli... Mekar sebagai bunga-bunga plastik yang indah hanya pada luaran dan dipandang mata... Biarpun ada yang mengatakan bunga-bunga plastik ini masih berguna, namun tiada sebanding dengan yang wujud adanya segar dan mengembirakan dalam erti kata sebenar.

Apabila mendengar cerita-cerita bayi-bayi teraniaya dan dibuang merata-rata... entah di mana silapnya... Mungkin dalam usia yang terlalu muda , mereka teruja atau mungkinkah kerana kita golongan terdahulu ini, orang tua dan ibu bapa yang terlupa melengkapkan mereka dengan pakaian yang paling baik dapat diberikan atau teralpa daripada memberikan makanan jiwa dan rohani yang sebaiknya.... Salah kita atau salah mereka.. Hati aku sedih, kerana bunga-bunga mekar ini teraniaya mungkin oleh kita golongan terdahulu... Semoga akan ada usaha membina jati diri mereka yang kukuh dan teguh...

Ada ketikanya melihat kudup-kudup yang mula menguntum sedang lena... alangkah murni seri wajah mereka.. Aku panjatkan doa buat mereka... Semoga DIA akan sentiasa memelihara mereka daripada kejahatan dan angkara syaitan, dan juga daripada keinginan dan penipuan oleh nafsu jahat... Semoga kuntum-kuntum kecil ini akan mekar dalam peribadi wanita muslim yang unggul dan teguh; serta terpelihara daripada dosa dan noda..

Antara usaha untuk kita menjaga keharmonian dan kesucian dalam diri bunga-bunga mekar ini ialah memberikannya 'hijab' yang baik... termasuklah apa yang disyariatkan dalam Islam dan apa yang dinasihati oleh golongan terdahulu daripada kita, yang memahami asam garam kehidupan seterusnya lebih berpengalaman..

Hijab buat puteri-puteri, bunga-bunga mekar ini adalah sangat perlu. Pertamanya menjaga aurat dan membataskan pergaulan mereka mengikut al Quran dan AsSunnah.. Selain didikan agama yang utuh; termasuk di dalamnya keperluan untuk menjaga permata hati ini dengan hijab yang dituntut..


"Hai isteri-isteri Nabi, kamu tidaklah seperti wanita-wanita yang lain, jika kamu bertaqwa, jangnlah kamu tunduk bicara dengan sikap yang menimbulkan keberanian orang yang bermaksud tidak baik dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya. Dan ucapkanlah perkataan yang baik. Dan hendaklah kamu tetap dalam rumah-rumahmu dan janganlah kamu berhias dan dirikanlah sembahyang; dan tunaikanlah zakat; dan taatlah kepada Allah dan RasulNYA dan sesungguhnya Allah bermaksud menghilangkan dosa dari kamu, hai ahlul bait, dan mensucikan kamu sesuci-sucinya." (Qs,Al-Ahzab: ayat 32-33)

Antara perkara yang perlu diutamakan ialah adab pergaulan puteri-puteri kita dengan bersungguh-sungguh. Aku fikir kadang kala kongkongan yang mereka rasa menjerut kaki, tangan dan leher mereka itu, adalah perlu..

Biarlah dia, puteri-puteri yang kita cintai itu menangis hari ini akibat kongkongan dan larangan kita hari ini... ketika mereka kecil ini... daripada mereka dan kita akan menangis pada suatu masa akan datang kerana kebebasan yang kita berikan hari ini... Mungkin ini hanya pendapat singkat aku sahaja... Puteri-puteri kita perlu dididik dengan sahsiah diri yang tinggi... Mengutamakan yang menjadi benteng kepada kekuatan iman dan taqwa mereka...

Maka aku memang berpendapat bahawa 'hijab' dalam pergaulan dan 'hijab' dalam pemilihan pakaian merupakan satu alternatif terbaik membentuk peribadi kuntum-kuntum yang bakal mekar...

Suatu masa lalu, ketika aku kecil.... aku selalu memberontak apabila bapak melarangku keluar sesuka hati.. Datuk yang boleh dikatakan berlembut dengan aku juga, selalu keras apabila ada sesuatu hal yang melibatkan pergaulan lelaki perempuan walaupun ketika itu aku masih anak-anak kecil... Ke mana-mana aku pergi, pasti ada yang mengiringi aku... sama ada abang mahupun adikku... Walaupun setelah aku mengenali dia yang pertama itu, dia perlu ke rumah aku untuk bertemu aku dan bapak akan duduk berhampiran sehingga sesi pertemuan itu selesai... Dulu aku memang tidak selesa kerana aku belum memahaminya... dan kini aku sangat faham dan berterima kasih kerana mengongkong aku ketika itu..

Dari Umar r.a bahawa Nabi SAW pernah bersabda:
"Tidaklah bertemu seorang lelaki dan seorang perempuan itu kecuali yang ketiganya adalah syaitan."

Hijab yang lain perlu dibentuk dalam diri puteri-puteri kesayang kita adalah perasaan malu dalam diri mereka. Mungkin terlalu malu pada sesetengah orang adalah suatu bencana dan penghalang kemajuan. Dan secara dasarnya pula aku tidak bersetuju... Kerana malu itu perlu ada dalam diri setiap orang... dan perasaan malu itu boleh diasuh dan disesuaikan dengan situasi dan konteksnya... Aku tidak fikir orang yang malu itu akan terhalang untuk mencapai kesejahteraan dan kebahagian malahan kesempurnaan dalam hidupnya.... Rasullullah SAW juga seorang yang mempunyai sifat malu yang menjadikannya begitu hebat.. begitu juga dan sahabat baginda Saidina Umar Al-Khattab...

Aku kira sifat malu adalah hijab yang perlu ada dalam diri bunga-bunga mekar mengharum ini.

Dari Ibnu Umar meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda.
"Sesungguhnya malu dan iman adalah dua bersaudara. Jika salah satunya hilang , maka yang lainnya dengn sendirinya akan hilang."

Sabda Rasullullah SAW juga:
"Ketika maksiat dijadikan bahagian daripada sesuatu, maka ia akan menjadi cacat; dan ketika malu menjadi bahagian daripada sesuatu, maka ia akan menjadi cantik"
( hadis riwayat Tarmizi)

Sekurang-kurangnya dengan perasaan malu yang ada dalam diri, kerisauan akan wujud ketika teruja melakukan sesuatu maksiat dan kemungkaran pastinya akan terhindar... Hanya mereka yang menidakkan rasa malu itu yang tidak akan punyai rasa ihsan, kasihan dan perihatin dengan orang lain... dan apabila terhindar rasa malu, pelbagai rasa bongkak dan tidak peduli akan hadir dalam diri.

Aku juga berpendapat 'hijab' juga melibatkan cara pemakaian yang baik dan menutup aurat; termasuk juga aspek penggunaan minyak wangi.. Suatu masa dulu aku begitu hairan ketika datuk melarangku memakai wangian ketika keluar... Bedak talkum yang datuk belikan juga adalah bedak yang tidak berbau wangi... Apabila aku curi-curi memakai minyak atar datuk, datuk selalu berkata yang orang perempuan tidak elok pakai wangi-wangian... dan datuk akan suruh aku basuh atau menyalin pakaianku... memang suatu yang menjengkelkan aku... kawan-kawan aku menukar minyak wangi selalu, sepupu-sepupu lelaki ku akan datuk pakaikan minyak wangi sebelum ke masjid pada hari jumaat.. abang dan adik-adikku juga. Bapak juga akan pakai wangian ke masjid atau surau... aku mereka halang untuk memakainya...

Ketika aku di tingkatan satu, seorang ustazah menegur aku kerana aku curi-curi pakai minyak attar datuk... Ustazah kata, jika bawa solat nanti dibimbangi tidak sah... masa itu aku tidak tahu bahawa salah jika orang perempuan berwangi-wangian ke masjid dan sembahyangnya tidak sah sehingga dia kembali ke rumah dan mandi wajib... Ada rasa marah, dalam hati aku menjengkel sahaja.. tetapi kini aku tahu dan aku faham... mengapa seorang perempuan itu tidak boleh memakai wangian.

Namun ada kalanya aku terpaksa memakai wangian... aroma wangian itu memberikan sedikit aura untuk diri aku ini... Itupun ketika aku dalam pengubatan dan pemulihan daripada sihir dan santau... Bau-bau murni yang beraura positif akan menyisihkan ion-ion negatif dalam badan... itu yang aku tak tahu... dulu..

Kini, aku menggunakan wangian juga untuk melegakan stress dan menggunakan wangian yang baik untuk menyisihkan sihir angkara jin dan syaitan pada ketika-ketika tertentu... begitu juga bunga-bungaan yang mempunyai keharuman tersendiri.


Hijab yang lain pula, adalah perhiasan dan pakaian buat generasi permata hati kita ini... Suatu peristiwa, aku memakai gelang kaki yang berloceng... dan aku ditegur oleh seseorang... maka aku bertanya dan menyelarnya iri hati dan cemburu, maka jawapannya ialah....dia meminta aku membaca buku tentang aurat, pakaian dan perhiasan untuk wanita muslim dan memberikan beberapa senarai ayat untuk aku kaji... dan kini aku juga tahu... aku berpakaian dengan mengundang musibah kepada aku dan mendekati zina...

Terima kasih kepada dia kerana membantu aku memelihara diri daripada terus seronok dengan perkara yang salah..

Barulah aku sedar kenapa datuk memotong loceng pada gelang tangan dan rantai kakiku dulu... ketika nenek beriya-iya membelikan aku sepersalinan barang kemas... patutlah nenek tidak menghalang perbuatan datuk... Aku sendiri mengikut nenek mengembalikan loceng yang dibuang dari barang kemasku itu untuk digantikan dengan buah rantai berbentuk hati..

Bukanlah bermakna aku tidak bersetuju jika kita membelikan puteri-puteri perhiasan... tetapi alangkah baiknya jika kita tidak dengan sengaja menjerumuskan mereka ke jalan awal perzinaan. Seharusnya kita nilai dahulu jenis perhiasan yang bakal kita pakaikan buat bunga-bunga yang sedang mekar ini...

Begitu juga cara berpakaian... Rata-rata generasi kita kini, berjilbab dan berpakaian yang dikatakan menutup aurat. Namun kebanyakan mereka juga tidak mengikut garis panduan menutup aurat dengan betul dan ada antaranya mengundang padah.

Pernah suatu masa aku ke kedai kasut, mencari sepasang kasut yang sesuai dengan profesyenku.. kebetulan ada kursus.. Di kedai tersebut ada seorang gadis yang membantu ku... namun ketika dia duduk mencari kasut bersaiz 5 1/2 atau saiz 6 untukku.. sambil tertunduk-tunduk, tudung di bahagian belakangnya ternaik dan menampakkan belahan belakang baju yang berbentuk U dan luas serta menampakkan tali baju dalamnya. Bukan itu sahaja, seluar yang ketat dipakainya itu terterik di bahagian pinggang dan menampakkan seluar dalamnya... aku termalu sendiri... kononnya menutup aurat tetapi boleh nampak semua yang patut disembunyikan... Biarpun tidak begitu ketara.. Maka setelah membayar aku memanggilnya ke suatu sudut dan memberikan sedikit nasihat... aku tahu dia mungkin malu dan marah dengan aku ... tapi biarlah... Itu aku rasakan sebagai tanggungjawab sesama wanita... Apatah lagi gadis itu sangat cantik... Cantik pada pandangan aku, apatah lagi jika orang lelaki yang melihatnya... dan kedai kasut itu juga bukanlah kedai yang hanya menjual kasut wanita...

Sabda Rasullullah SAW:
"Pada akhir zaman, ummatku nanti akan datang wanita-wanita yang berpakaian namun hakikatnya bertelanjang. Di atas kepala mereka ada seperti terdapat bonggol (pundak unta). Kutuklah mereka sesungguhnya mereka adalah kaum yang terkutuk."

" Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium harumnya meskipun bau syurga itu dapat dicium dari perjalanan (jarak) sekian dan sekian.."

Menyentuh segi pakaian, aku ingin berterima kasih kepada dia yang aku kasihi... Dia pernah mengatakan aku tidak bermaruah... tapi sebenarnya mungkin dia mendidik aku... cara berpakaian aku kini, alhamdullillah masih sopan dan sesuai dengan personaliti wanita muslim... Jika tudung aku pendek , dia akan timbulkan suasana tegang sehingga aku terpaksa mengena tudung yang labuh... Jika aku memakai pakaian ketat, dia akan mengatakan aku tidak tahu malu dan perempuan yang sengaja ingin menggoda (mungkin)... sehingga aku sendiri rasa marah dan akhirnya menilai cara pakaianku sendiri... dan jika aku terlalu ingin bercakap dan suka bercerita, dia mengatakan aku tidak malu untuk bercerita semua hal dan perkara kepada orang lain... maka untuk mengembalikan maruahku itu, aku belajar 'menutup mulut' aku ini... dan berbicara kepada hal-hal yang perlu... maka dia itu telah menghijabkan aku kepada banyak perkara. Semoga dia akan dapat membentuk peribadi orang-orang yang dekat dengannya kepada peribadi yang mulia..... terutama buat isteri dan puteri-puterinya jua..

Maka aku ingin menyudahkan catatan ini, buat masa ini.... Semoga bunga-bunga menguntum dalam hidup aku ini dan di sekeliling aku ini akan terus mekar mewangi sesempurna mungkin... Semoga suatu masa mereka akan faham bahawa jika mereka sedih, sakit dan payah ketika ini... dimarah, dinasihati, dikongkong, dihalang... kesinambungan dengannya tindakan atau keputusan yang mereka rasakan seperti menidakkan hak mereka.... bertujuan membentuk diri mereka kepada yang lebih baik akan datang...

Melentur buluh itu biar dari rebungnya... biarpun puteri-puteri ini boleh juga dilentur apabila sudah menjadi rotan dan buluh tua... usaha itu akan lebih susah.. Buat diri aku sendiri dan rakan-rakan yang seusia yang membaca catatan ini, sekiranya kita ingin berubah... bermula dari sekarang, selagi kita masih ingat dan kuat... Supaya kita boleh menjadi contoh peribadi yang baik buat puteri-puteri dalam hidup kita.

Bukan mudah menasihati orang lain, kerana sebenarnya amat sukar untuk kita menasihati diri kita sendiri... Kadang-kadang juga kita amat sukar untuk menerima nasihat orang lain. Bayangkanlah mereka yang masih mencari identiti hidup mereka... meniti kematangan mereka dan memastikan jalan dan arah yang mereka ini tuju... Selain segala usaha itu, semoga aku dan kalian akan dapat menjadi contoh dan teladan yang bermanafaat kepada mereka.. Doa aku semoga Bunga-bunga akan mekar dan mengharum dalam erti kata sebenarnya...