Selasa, Jun 28, 2011

JIKA ADA YANG TERSURAT, PASTI AKAN ADA YANG TERSIRAT

Hari ini talian internet ini begitu lembab... entah mengapa aku pun tidak tahu... namun cuma masa ini yang ada untuk aku mencatat. Puas mencari-cari masa tetapi waktu senggang aku untuk mencatat, namun banyak perancangan yang tidak dapat aku sempurnakan lagi.
Aku ingin mencatat sedikit tentang peranan sahabat dalam hidup ini... Mungkin kerana sekarang ini aku sering berkecil hati dengan beberapa rakan akrabku maka aku ingin meluahkan apa yang terpendam dalam hati ini...
Minggu lepas ada kursus tentang kecemerlangan kualiti kerja... aku kira sepatutnya ada kalangan yang bersama-sama dalam kursus itu akan mendapat manafaatnya.  Namun aku masih berkecil hati dengan sikap rakan-rakan yang berlepas tangan apabila ada sesuatu tanggungjawab yang dikongsikan bersama aku.. Aku sedar dan aku tahu bahawa mungkin itu semua berpunca daripada silap aku sendiri... Sengaja dengan rela melakukan pelbagai kerja semampuku dan selalunya semua tugas-tugas itu aku selesaikan sendiri. 
Seorang rakan menempelakku ketika berbual, bukan dalam intonasi marah tetapi dalam perbualan biasa. Perbualan yang santai dan dalam keadaan tenang.

Katanya, "Susah apabila seseorang itu merasakan semua apa yang dilakukannya sempurna dan selalu memberikan komen atas kerja-kerja orang lain atau terlalu banyak cadangan kononnya untuk membantu orang lain... macam berlagak pandai."

Pada mulanya aku sebenarnya tidak perasaan bahawa kata-kata itu ditujukan kepada aku, namun seorang rakan berhadapan dengan aku memandang aku dan memberikan isyarat. Aku sebenarnya tidak faham apa sahaja yang dimaksudkan oleh rakan baikku itu namun akhirnya aku mengerti.
Setelah beberapa waktu aku kaji, mengapa sahabat itu berkata demikian...Mungkin kerana aku selalu menegurnya atau mungkin aku terlalu mencampuri beberapa perkara dalam urusannya.  Atau ada kesilapan lain yang orang lain tidak ketahui. Yang jelas aku memang tidak punyai jawapan pasti.
Seingat aku, aku sememangnya menganggapnya sebagai seorang adik, aku ikhlas menegurnya jika ada beberapa perkara yang tidak begitu menyenangkan. Dia juga sering menyampaikan segala komen daripada kawan-kawan lain yang tidak suka dengan apa yang aku lakukan... aku rasa aku begitu senang untuk berkongsi rahsia dengannya dan aku senang berurusan dengannya... namun aku tidak sangka bahawa dia sering tidak bersetuju dan tidak senang dengan aku akhir-akhir ini.  Inilah hakikat hidup, dia sebenarnya sudah punyai rakan lain yang disenangi untuk berkongsi cerita....maka aku semakin terpinggir.  Bagi aku biarlah, aku dimarahi manusia asal tidak aku ini dibenci Allah.
Sejak aku agak rapat dengan seorang rakan lain yang berada dalam bidang tugas aku dan banyak keputusan yang mengaitkan kami, maka banyak hal yang telah berlaku... Dia, adikku itu telah semakin menjauh... tidak boleh aku tegur lagi. Tidak boleh berkongsi cerita lagi... tidak boleh aku berkata sesuatu lagi... Tidak tahu mengapa... yang jelas dia sudah tidak senang dengan aku lagi.
Di ruangan ini  aku mencatat biarpun aku tahu dia tidak akan membaca ruangan ini, namun siapa tahu apa yang berlaku seterusnya... Jika dia terbaca ruangan ini aku ingin memohon dia membaca dengan berlapang dada.
Selama ini memang salah aku kerana sering menegurmu... kerana aku tidak mahu kau melakukan kesalahan yang sama pernah aku lakukan.... bukan kerana aku begitu sempurna..
Selama ini memang salah aku menuruti kehendak dan setuju dengan perancanganmu... kerana aku ingin sekali memberikan sokongan kepadamu...
Selama ini, aku memberikan banyak cadangan untuk kau menyempurnakan tanggunggjawabmu.... kerana aku tidak suka kau 'mencuri' idea dan perancangan aku.... kerana jika aku tidak benarkan maka kau akan berdosa dan bersalah kepada aku... maka cadangan dan saranan itu aku dahulukan untukmu, bukan untuk memberikan jalan kau berbuat salah kepadaku...
Selama ini aku bersalah kerana bersetuju dan menyokongmu.... kerana aku tidak mahu kau kecewa tanpa sokongan dan gagal sebelum mencuba...

Sedangkan sebenarnya aku kadangkala punyai pandangan aku sendiri dan bukan semua apa yang kau cadangkan, pertahankan itu betul pada pandangan aku ini.  Mungkin salah aku juga sebab aku menganggap kau itu seorang yang boleh aku bimbing.... tetapi memang salah aku kerana aku seperti mengongkongmu.... aku tidak sedar bahawa sebagai anak sulung, keegoan dalam dirimu kononnya sebagai ketua itu agak tinggi.  Dan aku lupa bahawa aku ini bukan manusia sempurna... memang salah aku.
Aku tahu apabila pada pendapat aku kepada pandangan dan permintaanmu dalam mesyuarat itu tidak sama... dan aku tidak menyokongmu kerana kau hanya mementingkan kebajikan kau sendiri tanpa memikirkan kebajikan orang lain.  Aku tidak berasakan ia sesuatu yang wajar diperdebat kerana jika apa yang kau pinta itu hanya menguntungkan beberapa orang sahaja. Namun aku rasa sebagaimana aku menghormati pendirianmu maka kau juga harus menghormati pendirian aku ini... bukan meminggirkan aku dan menjauhi diri ini.... dan kini, aku sendiri sangat tidak selesa untuk duduk bersamamu... Kau perlu bersikap adil... kau berada dengan semua orang untuk menjaga reputasimu, bersetuju dengan mereka walaupun kadangkala kau tidak bersetuju dengan mereka... biarpun mereka melakukan beberapa kekurangan, hanya kerana kau takut kehilangan mereka... berbeza dengan aku apabila aku bersikap tidak kisah dengan pelbagai perkara dan aku tidak berasa lemah hanya kerana mereka mengutuk dan mengata aku... aku hanya akan berterus-terang dan akan rela disakiti mahupun difitnah walaupun dibenci mereka... kerana aku punyai prinsip aku sendiri, dan biarlah aku hina di mata mereka asal aku akan tetap DIA sayangi... Siapa mereka untuk 'ditakuti'? Bukan sesiapa dan kemuliaan dalam kalangan mereka itu tidak senilai dengan kemulian jika diberikan oleh Allah... dan itu dikau kena ingat! sebab daripada segi ilmu agama, kau lebih berbanding aku.

Dan, entah mana silapnya juga dalam hati ini aku terasa teraniaya oleh rakan baik aku sendiri.  Setiap usaha dan tugasan yang berkongsi dengan aku, dia akan lepas tangan kerana kononya, aku akan menyempurnakan segalanya.  Memang salah aku kerana aku sering menyempurnakan tugas orang lain  dan sentiasa ingin menolong, atau kata dia dan mereka, aku sering menyibuk-yibuk... lebih kuah daripada sudu.... sebab mereka tidak menyempurnakan tugas itu... Bukan aku sempurna, terlalu banyak kelemahan aku... dan pernah suatu masa itu aku berasa terlalu penat untuk menjadi seorang yang membantu orang lain... apatah lagi apabila tidak dihargai maka ia akan semakin merundum dan terus lemah.  Salah aku kerana membenarkan kalian memijak kepala aku ini... kerana membiarkan kau juga untuk mempergunakan aku... Bukan tujuanku untuk mengungkit....namun segala apa yang dikongsi dengan aku ini aku simpan baik-baik... agar kau sentiasa dipandang hebat... namun salah aku adalah dengan sengaja membiarkan kau beranggapan aku bisa kau pergunakan... Memang salah aku membiarkan orang lain mempergunakan kebaikan aku ini untuk kepentingan mereka.

Aku cuba untuk menerima oranglain seadanya.... semua sama rata...walaupun aku tahu tidak ada seorang pun yang sama dengan orang lain.  Jika aku  memilih untuk berkawan dengan orang yang tidak disenangi oleh rakan yang lain, tidak bermakna aku belot.  Contoh, seorang yang dulu dikatakan sering memfitnah aku dan membesar-besarkan cerita yang kecil.. aku masih menerima sebagai seorang manusia yang punyai peluang dan ruang untuk berubah... walaupun kalian tidak suka. Sama seperti menerima kalian sebagai teman baik ketika kalian dihina oleh orang lain dan aku masih menerima kalian sebagai seorang rakan... akrab. Tidak akan ada kemuliaan buat kita, jika kita asyik memperlekeh dan menpertikaian kemuliaan oranglain.  Jika kita menjaga aib orang lain di dunia ini maka Allah akan menjaga dan menutup aib kita di dunia dan akhirat. Semua orang ada hak untuk menolak tetapi kita tidak ada hak untuk memaksa seseorang sama ada menolak dan menerima.
Jika aku diberi peluang untuk memberi nasihat lagi, dan kalian ingin mendengarnya.... aku ingin sekali dinasihati kembali... Itulah harapan aku...
"Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian... Kecuali mereka yang berpesan-pesan dengan kebenaran, berpesan-pesan dengan kesabaran."

Tiada manusia yang sempurna di dunia ini, apatah lagi kita.... golongan akhir zaman yang sering merasakan diri kita hebat, kelompok dan kumpulan atau jemaah kita terbaik sehingga kita lupa jika kita meludah ke langit, maka akan tertimpa ke muka sendiri.... apabila kita menepuk air di dulang akan terpercik ke muka kita kembali.... tidak guna kita menongkat langit, dan menongkah arus... kerana jika DIA mengkehendaki maka segalanya akan terjadi... Semoga kita dalam golongan orang-orang insaf dan bersyukur....

Rabu, Jun 22, 2011

KETIKA MATA INI MASIH TIDAK MAHU LELAP..

Aku kira dinihari semakin meluaskan tebarnya... Hmm... tetapi mata ini masih belum mahu lelap. Puas aku berkalih namun masih belum mahu lelap. Ya Allah... entah mengapa aku ini. Apa yang harus aku lakukan telah juga aku lakukan, maka selebihnya aku ingin melelapkan mata ini untuk merehatkan minda dan jiwa ini daripada kekalutan dunia kini yang tiada putusnya..
Aku pujuk diri sendiri untuk berehat, namun fikirku juga tiada putusnya... Tertanya-tanya, siapakah waktu-waktu begini yang teringat akan aku mahupun berkata-kata atau berkisah tentang aku. Sedakan aku pun tidak berhenti... Doa siapa yang berkait dengan aku? Ingatan siapa yang bersangkut dengan aku? Bicara siapa pula yang menyentuh peribadi aku?

Mungkin dia, atau mungkin dia, mungkin dia juga.... dan tidak sekali-kali dia.  Aku memutuskan tidak mahu berkaitan dengan sesiapa lagi buat masa ini. Bukan kerana berputus asa, cuma aku sudah terlalu penat dengan perjalanan seperti itu. Aku juga sudah penat untuk berlagak aku tidak kisah akan semua itu. Aku kisah, kisah sangat...
Mungkin kerana kebimbangan dalam hati ini, tentang beberapa perkara... entahlah aku sendiri ragu-ragu. Entah perasaan apa menyelusuri hati dan minda ini...
Kegusaran yang sukar untuk dimengertikan.. sukar untuk ditafsirkan.. sukar untuk ditelah, bukan oleh orang lain malahan oleh diriku sendiri.. Keliru dan keliru, seterusnya begitu keliru.

Aku juga keliru dengan dia kini.. amat baik dan tidak kekok untuk berinteraksi dengan aku lagi.  Sedangkan aku berdoa semoga kami akan terus-menerus menjauhkan diri dari satu sama lain. Semoga tiada lagi fitnah antara kami.  Cukup bagiku melihatnya, mengetahuinya, dan melihatnya dari jauh.. Aku tidak perlukan untuk dia dekat denganku apatah lagi untuk berbaik-baik dengan aku ini.  Entah apa rahsia agendaMU Ya, ALLAH... aku tidak mengerti sama sekali.. perlukah komunikasi kami ini dalam hubungan ini?
Cukuplah aku masih mengagumi dia.. cukuplah setakat itu... semoga tiada hati-hati yang terluka lagi bersebabkan kami..

Atau sidia yang mengharapkan aku ini.  Aku tidak akan bertindak terlebih dahulu.  Jika ditakdirkan seseorang itu berkehendak akan aku ini..... semoga dia akan bertindak mengikut adat, resam dan budaya dan yang penting adalah syariat agama. Aku tidak mahu beralasan apa-apa sekalipun.. biarlah orang tua yang menentukannya kali ini... Aku dapat merasakan dia agak berasa yang aku ini dalam katogeri yang memilih dan sombong... Jawapan aku hanya mungkin!
Aku sebenarnya tidak punya syarat untuk memilih dan jauh di sudut hati ini, aku sudah malu untuk memperkatakan soal-soal ini dalam hidup aku.  Namun soal hati sukar untuk dimengertikan.. Sukar untuk diduga... sukar untuk dijangkaui.. Maka serahkan segala-gala urusan kepada Yang Maha Mengetahui... Aku menerima dengan ikhlas jika itu yang ditentukan buat aku ini...
Sukar juga untuk mengatakan tidak... setiapkali hadirnya suatu perasaan itu, berbeza caranya... Dia yang terakhir sebelum ini, membekalkan aku satu perasaan yang sukar untuk aku gambarkan... Terlalu banyak dugaan dan halangan. Hanya aku yang berharap ketika itu.... tetapi cinta dan kasih sayang itu tidak semestinya dibalas untuk dirasaikan nikmat dan kebahagiaannya.. Sukar, sedih, terluka...aku masih mengasihinya.  Pelik manusia ini. Namun, kepedihan lalu tidak melunturkan rasa kasih akan dia, cuma caranya berbeza. Jika ada izinNYA, pasti terjadi. 
Kini, sebenarnya aku seperti takut untuk menyusun kata-kata berdoa ke arah itu... selepas sholat hanya doa-doa keberkatan hidup dan kesejahteraan dunia dan akhirat yang aku pohonkan... dan aku yakin DIA pasti tahu kebimbangan yang ada dalam hati ini... biarlah doa-doa lalu itu sahaja aku hamparkan sebagai permohonan kepadaNYA. 
Atas segala peristiwa itu, aku kini sedikit takut untuk menerima dia... Setiap kali matanya bertentang dengan mata ini, aku pasti melarikan pandangan.... aku tidak ingin berbicara melalui apa-apa pandangan.... cukuplah taman-taman mula subur di hati ini dan hatinya.... jika ALLAH mengizinkan, segalanya akan terjadi tanpa diatur oleh aku atau sesiapa kerana DIA merupakan pengatur yang Maha Sempurna...
Semoga hidup ini terus KAU berkati....

Isnin, Jun 20, 2011

BICARA HATI INI LAGI.... RESAH ITU BAHAGIAKAH??

Masa untuk aku mencatat dalam kekerapan yang setara, saban hari misalnya... tidak aku miliki ketika ini.  Entahlah sepanjang hari-hari aku lalui dengan kelekaan... apabila aku sedar, masa yang ada untuk berehat dan tidur pun kadangkala aku abaikan..
Namun aku ingin mencatat malam ini. Ketika ini DIA tidak mengizinkan aku melelapkan mata... Kerja-kerja pun telah aku simpan, insyaallah akan aku sambung esok... cuma aku ingin meluahkan bicara hati ini dalam ruangan ini... sebagaimana tujuan asalku mengujudkan laman yunimaha5 ini untuk aku catatkan segala apa yang aku rasakan. Jika boleh dimanafaatkan, alhamdullillah.. Jika tidak, sekadar mengisi ruang untuk menatap catatan ini. Aku ingin mencatat beberapa perkara yang aku rasakan tidak perlu aku simpan atau pendamkan dalam hati ini; yang berkemungkinan memberikan tekanan dan beban dalam minda dan emosi aku... rentetan itu aku meluahkan di sini... supaya segalanya tidak menjadi pekung.

Beberapa minggu ini, aku sebenarnya tidak mendapat rehat yang cukup. Dengan tanggungjawab pada siang hari yang aku rasakan tidak siap-siap dan entah bila akan selesai... ditambah dengan tiadanya  waktu senggang pada malam hari.. aku juga akhir-akhir ini tidur selewat jam 1-2pagi... namun sejam dua aku pasti terjaga semula.
Sesuatu yang tidak aku gemari, saban malam  dalam lenaku aku sering bermimpi dia  yang aku kasihi itu. Yang jelas aku sendiri tidak tahu entah mengapa perlu aku bermimpikan dia lagi. Rasanya sejak aku membuka ruang hati ini untuk seorang dia yang lain, seperti yang aku catat dalam laman ini, bertambah kerap pula aku bermimpikan sehingga saban malam, berturutan... dan merimaskan. Bukan kerana sudah tiada dalam hati ini lagi, cuma aku tidak berasakan apa-apa kewajaran yang membolehkan dia kerap hadir dalam mimpi. Kata orang, jika kita asyik bermimpikan seseorang maka sama ada kita mengingati dia mahupun sebaliknya.  Aku memang tiada jawapannya. Mimpi-mimpi tanpa alasan dan mungkin hadir dek jangkauan perasaan. Aku tidak mahu mengingati dia lagi sebagai seorang yang aku kasihi lagi..mungkin hanya sebagai seorang yang pernah aku kasihi.  Aku tidak mahu teringat dengan angan-angan kosong yang melalaikan. Mungkin....

Aku bertemu dia, beberapa hari yang lalu... dia nampak letih dan kurang bersemangat. Aku sendiri sudah begitu malu dan sukar untuk berbicara dengan dia, apatah lagi  memandangkan situasi dan keadaan yang tidak begitu mengizinkan.  Apabila dia meminta aku berbuat sesuatu, aku menolaknya dengan baik. Aku tahu dia kecewa, walaupun selepas memujuk, aku masih menolak... Aku punyai alasan aku sendiri. Mimpi-mimpi dia yang aku kasihi itu  kerap hadir dalam mimpi-mimpi aku setiap malam sepanjang beberapa minggu ini begitu menganggu aku ini. Walaupun aku tidak begitu yakin dengan beberapa perkara namun aku sedar dia yang baru itu terasa sesuatu yang tidak kena ketika aku menolak permintaannya. Bukan aku tidak suka namun aku tidak mahu menghampakan harapan orang lagi. Cukuplah kelukaan yang ada dalam hati aku ini, sehingga bersebabkan itu aku melukai orang lain pula.  Semoga Allah memberikan kekuatan untuk aku melalui semua ini.

Sebenarnya, aku bimbang dan ragu-ragu dengan keadaan dia di pertemuan baru-baru ini.. Aku sedar dia keletihan dalam usahanya membantu oranglain itu,  namun mungkin keletihan itu bertambah dengan ketidaksungguhan aku pada hari itu.  Maafkan aku... sekiranya dikau tahu.. Aku tidak akan mengharap, berharap mahupun memberikan oranglain harapan lagi. Cukuplah.... Betapa aku merasakan kebahagiaan setiap kali bertemu dia...tetapi aku perlu sedar yang aku tidak mampu lagi menampung keresahan dalam hati aku ini... dan aku tidak mahu orang lain terutama keluargaku memberi harapan-harapan yang tidak tahu bila akan tertunai... Cukuplah kesakitan itu kalian kongsikan bersama aku ini.  Buat dia juga, biarpun aku berasakan emak dan keluarga menyenanginya... aku sendiri berasa sukar untuk melaluinya lagi... Biarpun aku tahu dia begitu hampa dengan situasi pertemuan baru-baru ini, kerana aku tahu dia tahu aku sengaja mengelak darinya. Kesian dia, tetapi apakah dayaku.... Sungguh aku senang bertemunya... Sungguh aku berasa gembira... dan aku tahu dia akan cuba untuk datang lagi... setelah malam itu dia terus balik sejurus aku meninggalkan tempat itu... Maafkan aku tidak bisa menunggu lama dan memperlihatkan kesenangan aku kepadanya... Semoga Allah memelihara dia dalam dakapan kesejahteraan berpanjangan... dan memudahkan semua urusannya kelak... Itu doa aku buat dia... yang sedang aku dan baru aku kenali itu...
.
Mimpi-mimpi sepanjang dua minggu berlalu ini begitu menganggu aku... jika aku tidak bermimpi, aku akan tersedak pada ketika-ketika tertentu... yang menyesakkan juga.  Allah sering memberi aku petanda melalui mimpi-mimpi aku ini... Ah, sehingga ada seorang sahabat bermimpikan aku ketika aku memerlukan pertolongan, lalu dia bertanya... Apakah benar gelombang fikiran seseorang itu akan mempengaruhi mimpi orang yang diingatinya? Entahlah.... tiada sesiapa yang dapat membuktikannya dengan jelas..
Aku secara peribadinya senang bermimpikan dia selalu.... senang jika dia selalu ada... cuma aku tidak begitu senang apabila aku bertemu dengan seseorang yang baharu.... aku akan selalu bermimpi akan dia. Apakah dia merasakan gelora hati aku yang resah ini... atau, adakah dia merasakan seseorang lain yang sedang mendekati aku ini? Ya, itulah kebimbangan aku ini.  Aku mesti berani untuk meninggalkan dia sepenuhnya untuk mendekatkan diri aku dan membuka hati ini kepada dia yang menenangkan hati aku ini... apatah dia memiliki hampir kriteria yang aku impikan...


Aku juga berasa rimas bukan sahaja kehadiran dia dalam setiap mimpiku saban hari... Aku juga hairan dengan layanan baiknya itu... layanan yang aku perlukan suatu masa dulu, berbaik sangka dan sentiasa bersedia berinteraksi baik dengan aku... itu dulu... kerana sekarang aku tidak mengharapkan apa-apa lagi dari dia... aku akan sentiasa mendoakan kebahagiaan kerana aku mengasihi dia... hanya itu!
Aku tidak sekali-kali ingin melihat dia kalah... apatah lagi menjilat ludahnya sendiri... Biar apapun gelaran yang aku pernah terima dulu, telah aku ikhlaskan... aku lepaskan dan aku maafkan, biarpun saat itu aku sebenar-benarnya terluka dihina oleh dia yang aku kasihi.
Kini segalanya belum terlambat... tetapi aku sudah tidak memerlukan segala itu lagi.   Kenapa apabila aku ingin mengubah haluan layarku, angin akan berpuput mengembalikan aku ke arah yang sama... aku perlu tabah untuk mengubahnya

Buat dia, sekiranya aku sudah menentukan hala kemudi kapal kehidupan aku, dan sekiranya aku terpaksa meninggalkanmu untuk bersama dia... aku berharap semuanya akan baik-baik sahaja buatmu...
Usah hadir dalam mimpi-mimpi aku lagi.
Buanglah kebimbanganmu jauh-jauh...
kerana sudah tiba aku mengorak langkah, yang mungkin akan terus meninggalkanmu... aku pohon ikhlaskanlah aku mencari kebahagiaan itu.
Tiada peluang kedua untuk kita.... aku sudah berkeputusan begitu...
Jika kerana rasa bimbangmu, dikau mengingati aku dan berasakan suatu gelombang atau aura yang menyesakkanmu... bersabarlah.. kerana aku telah melaluinya terlebih dahulu suatu masa dulu... ketika itu apabila aku kembali kepada DIA, mengadu dan bermohon kekuatan daripadaNYA, melepaskanmu secara baik-baik, mendidik hati ini redha... akhir aku menjadi tabah begini.  Mungkin aku salah bersangka-sangka... tetapi inilah gerak naluri aku ini... Jika dikau dalam kesukaran, ingin lagi aku di sisimu.... aku masih ada, walaupun dalam perjalanan aku ini menjadi milik oranglain.


Doakanlah perjalanan aku ini menjadi lancar dan baik... sepertimana aku sentiasa mendoakan kebahagiaanmu sepanjang masa...

Bukan aku tidak mahu lagi untuk bersamamu dan seiringan denganmu... cuma aku ingin ruang dalam mencari dan melaksanakan pelbagai perkara berguna dalam hidup ini...

Semoga telahan aku ini benar... aku sangat menyayangimu namun DIA lebih mengetahui apa yang lebih baik untuk kita... Dikau pernah berkata, kita tidak semestinya dapat apa yang kita suka atau gemari kerana DIA lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita.... Semoga dikau akan ingat kata-katamu itu... maka kini aku sedang menuju ke tujuan itu... Doakan aku..
Dan, kembalilah ke dunia dan kehidupanmu tanpa aku sebagaimana aku belajar melalui hidup ini tanpamu di sisi....

Sabtu, Jun 18, 2011

SELAMAT HARI BAPA...

Aku kongsikan klip video daripada youtube ini sebagai satu telahan daripada hati kecil aku ini...
Sesungguhnya.... aku ingin memohon maaf kerana aku belum bisa menjadi anak solehah... namun bapak, aku tidak pernah lupa akan dikau... dan akan menghadiahi al-Fatihah buatmu bapak... semoga amalan aku ini akan dapat membahagiakanmu di sana...

Sesungguhnya aku berasa bertuah dan beruntung mempunyai bapak sepertimu... aku kira aku amat bertuah menjadi anakmu... bapak.. Alhamdullillah...
Mungkin anak-anak buahku ada antaranya tidak sebertuah aku dan ibu mereka yang mempunyai seorang bapa sebaik bapak... mereka tidak merasai kasih sayang itu sesempurna oranglain... Aku berdoa semoga mereka yang tidak mendapat sepenuh mendapat perhatian seorang bapa itu akan menjadi bapa yang terbaik suatu hari kelak... jika tidak mencontohi seorang bapa yang baik dalam hidup mereka... Aku yakin Allah pasti memperkenan doa aku yang tidak berdaya ini....
Selamat hari bapa.... buat semua bapa yang melaksanakan peranan seorang bapa sesempurna mungkin, sedaya-upaya mungkin... bapa yang baik adalah bapa yang sentiasa ingin melaksanakan peran sebagai sebenar-benar bapa... walau apapun gelarannya: bapa, bapak, ayah, abi, walid, papa, daddy, abah, babah, dan seumpamanya.... kerana kalian sebenarnya sememang berhak untuk dihargai, dikasihi, dicintai... oleh kami anak-anakmu..