Isnin, Julai 16, 2012

AKU INGIN MENULIS KEMBALI...

Beberapa bulan ini kehidupanku amat sibuk dan sedikit hambar. Banyak sekali yang aku perlu uruskan dan banyak juga perkara yang perlu aku pertimbangkan. Entahlah, hidup ini ada kalanya terlalu rumit untuk difikirkan... semakin difikir, semakin pula terasa kekalutan dan kemelut yang ada di dalamnya... masa yang ada ini pun agak terhad untuk bersenang lenang... Lepas satu hal, hal yang lain menjelma. Biarpun bukan masalah yang mendatang, bukan juga sesuatu hal yang boleh diambil mudah.  Majikanku memberikan kepercayaan dengan mencadangkan beberapa projek yang perlu aku selesaikan. Masalahnya cuma satu... iaitu bukan tugas dan tanggungjawab aku; yakni aku perlu menyelesaikan tanggungjawab orang lain. Tanggungjawab dan tugasku yang sedia ada sudah cukup membuatkan aku penat dan sibuk. Ya ALLAH berikanlah aku kekuatan untuk melaksanakan. Agaknya atas sebab apa semua ini berlaku.  Katanya, sudah diamanahkan kepada yang sepatutnya tetapi tidak terlaksana. Maka beliau percaya jika diberikan kepada aku ini semuanya akan terlaksana dengan baik dan sekurang-kurangnya akan ada perubahan.  atas sebab itulah aku menulis lagi waktu ini. Agak lama aku tidak menjengah semua blog yang aku uruskan selama ini, hanya kerana aku agak sibuk.  Aku ingin bekerja dengan selesa dan tenang..... dan keperluan itu memaksa aku mencatat lagi. Semoga rasa tekanan dan ketegangan akan dapat aku laksanakan dengan baik.
  
          Dua bulan lalu seorang lagi rakanku menamatkan dunia bujang dan  kini menjadi seorang isteri. Alhamdullillah... aku bersyukur kerana akhirnya dia dapat menamatkan zaman bujang dengan jejaka yang baik. Walaupun bergelar bapa tunggal namun aku yakin sahabatku itu akan berbahagia dengan pilihan. Telah banyak dugaan yang dilaluinya sebelum ini. Namun ALLAH lebih mengetahui kenapa, mengapa dan bila  akan diberikan rezeki seperti itu.  Dengarnya seorang lagi sahabat seorang ibu tunggal juga sudah dirisik-risik orang. Eloklah begitu. Dengarnya sahabat ini juga berkawan dengan suami sahabat sendiri tanpa dia sedari bahawa lelaki itu dikenalinya. Malahan isteri lelaki itu juga sangat baik dengannya. Aku sendiri mendengar kisah itu daripada mulut sang isteri. Mengamuk sakan si isteri. Apa yang aku mampu buat hanya mendengar. Bukan pula tanggungjawab aku untuk campurtangan dalam hal rumah tangga oranglain.  Aku sendiri bersalah sangka dengan sahabat itu.  Namun kini, setelah sahabat itu mengetahui gerangan suami dan sahabat yang terlibat dengannya, dia menarik diri, sedangkan sahabat iaitu si isteri seperti hendak mengizinkan hubungan itu berlaku.  Entah apalah kesudahan mereka itu kelak. APApun aku mendoakan agar ALLAH akan memberikan penyelesaian yang terbaik, dan semoga mereka akan dapat menerimanya walaupun segala apa yang berlaku itu tidak disukai mereka.

            Ramadhan akan menjelang lagi.. hanya beberapa hari lagi. Ya ALLAH, usahlah kau berikan aku ini kekosongan dalam hati ini. Limpahilah dengan keredaan dan berkahMU...

             Entah kenapa dalam kesibukan aku ini aku masih berasa kekosongan hati dan jiwa.  Ehmm.... ya kah aku dalam keadaan itu? Banyak perkara yang aku lalui akhir-akhir ini begitu menghampakan hati ini. Namun aku tidak dapat mengelakkannya. Aku tidak mahu mengeluarkan apa-apa komen, sepatutnya setiap seorang daripada kami mengetahui akan tanggungjawab dan  peranan masing-masing. Aku sendiri masih terbeban dengan tanggungjawab oranglain.. aku sendiri yang melibatkan diri dan rela memegang tanggungjawab itu.. kata emak apabila aku berasa tidak sihat atau mengadu sekadar bercerita akan rasa letih dan kelesuanku di rumah. Mungkin ada benarnya aku banyak menghabiskan masa dan ruangku untuk oranglain sehingga untuk kesenanganku sendiri aku tiada masa. Namun apa yang perlu aku rungutkan, semua itu pasti ada penjelasan di sebaliknya. 
         
           Sejak akhir-akhir ini perangai lamaku kembali lagi.. tidak kisah dengan banyak perkara juga. Membiarkan semua berlalu dengan sengaja tidak ku pedulikan.  Aku bimbang dan risau dengan keadaan ini namun aku masih bermalas-malas dan melengah-lengahkan banyak perkara dalam hidup ini. Sejujurnya aku tidak suka dengan keadaan diriku ini. Aku sering mencabar diri ini agar lebih berperanan dan aktif, namun aku semakin lewah dengan kemalasan dan sikap bersahaja yang melampau. Kenapa aku terus rasa begini?

           Apabila melihat kepada kerja-kerjaku di tempat kerja, alhamdulillah tiada pula terabai. Cuma aku sedar sudah beberapa kali aku melaksanakan tugasku sesempurna mungkin dan dalam tempoh yang sama aku akan terasa sakit dan letih. Aku akan lemah dan kerja-kerjaku yang lain sukar pula untuk aku teruskan. Adakalanya tertanya-tanya juga hati ini, mengapakah semua ini berlaku. Sehinggakan aku membuat kesimpulan sesuatu yang tidak elok melandaku. Aku menjadi seseorang yang bersangka-sangka.

          Ketika inilah juga aku teringat kata-kata beberapa orang yang mengubatiku, bahawa di sini aku tidak disenangi oleh beberapa orang rakan yang tidak begitu suka melihat aku melakukan sesuatu kerja dengan sempurna atau lebih baik daripada orang lain. Dan beberapa orang yang sering 'mengenakan' aku dengan pelbagai penyakit agar apa sahaja yang aku lakukan akan tergendala.  Astagfirullah al-azim... sejauh itu sangkaanku berlegar.
        
           Aku sentiasa bersangka baik, namun aku juga sering berhati-hati menjalani kehidupanku dengan amaran itu.  Beberapa malam ini, mimpi-mimpi yang aku lalui juga tidak membawa alamat yang baik, malahan menakutkan dan membimbangkan diri ini. Banyak hal dan kisah yang sukar untuk aku tafsirkan.  Akhir-akhir ini juga aku sering melihat kembali imbasan haiwan-haiwan berbisa terutamanya ular.  Imbasan bayangan lembaga yang pelbagai rupa. Nauzubillah dengan gangguan-gangguan ini. Agaknya mengapakah semakin menghampir Ramadan macam-macam ujian perlu dilalui. Benarkah masih ada golongan jin yang tidak diikat pada bulan Ramadan ini? Aku pernah dengar bahawa jin-jin yang berlindung dalam tubuh badan manusia atau dipelihara,tidak akan diikat namun aku tidak pasti akan semua itu.
 
       Atas beberapa faktor, aku yakin bahawa ada unsur sihir dan gangguan mempengaruhi keadaan kesihatan aku kini. Setiap sesuatu ujian itu tentu sekali bersebab. Aku tidak dapat menafikannya. Perasaan marah juga selalu hadir tanpa sebab yang jelas. Rasa sakit dalam hati tiba-tiba muncul. Namun aku akui semua ini adalah ujian daripadaNYA. Dan aku tidak sesekali mengizin hasutan syaitan bermaharajalela dalam diri. Anak-anak di sekeliling juga sering menguji kesabaran aku ini. Namun mereka masih mencari identiti dan mengenali kehidupan. Sebagai seorang dewasa, apakah aku harus cepat berkecil hati dengan semua karenah mereka. Di mana tumpahnya kuah, jika tidak ke nasi. Biarpun bukan anak-anak sendiri namun mereka membesar dengan air tanganku. Pasti sedikit sebanyak ada juga sifat atau peribadi yang akan terhasil daripada didikan itu.
           Semoga anak-anak akan mengikut atau mencontohi sesuatu yang baik daripada diri ini. Aku berdoa mereka akan menjadi insan berguna, mendengar kata, berfikiran ideal dan terbuka, bertubuh dan berhati waja... soleh, solehan dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang Allah redai, Amin...


          Beberapa hari ini seorang rakan ditimpa musibah. Sebelum itu hampir dua bulan lalu aku sendiri ditimpa musibah. Aku dan adikku dirompak dalam pagar rumah sendiri. Pada hari yang sama seorang rakan juga mengalami musibah yang sama. Ketika itu, aku hanya ingat akan anak-anak yang pada ketika itu ada dalam kereta, walaupun dua bilah parang diletakkan di leherku. Aku tidak menjerit, hanya dalam fikiranku keselamatan anak-anak kecil itu lebih penting. Maka dengan sendiri aku menyerahkan seutas rantai kepada perompak itu. Segalanya berjalan pantas, dan apabila mereka bertanya kenapa aku tidak melawan sedikit pun... aku tidak ada jawapannya. Aku memang tergamam. Adikku sendiri memarahiku. Namun aku tidak tahu apakah jawapan pasti untuk semua ini. Dia menjerit dan melawan, sedangkan aku hanya diam dan menurut kehendak perompak itu... cuma dalam hatiku ini, jika apa-apa berlaku... bagaimanakah mereka yang lain menghadapi. Bagaimana adikku dan keluarga yang sedikit bergantung hidup denganku akan lalui kehidupan mereka. Sedangkan untuk  meninggalkan mereka beberapa hari pun aku akan menyediakan semua sebaik mungkin yang termampu olehku. Apalah yang dapat kubandingkan dengan nilaian rantai lingkungan harga RM 4000 jika dibanding dengan nyawa anak-anak di hadapanku ketika... Aku tidak menyesal kerana itu, cuma aku akan mengubah sikap dan tindakan selepas kejadian itu berlaku. Perubahan yang tidak akan merugikan sesiapa malah untuk kebaikan bersama.

      Namun musibah seorang rakan ini lebih menyedihkan. Jumlah wang yang banyak yang dikumpul bertahun dan atas keperluan yang sesungguhnya mungkin penting buatnya. Innallillahi wainailaihi rajiun... inilah sahaja yang dapat aku ucapkan.  Semoga dia tabah dan bersabar melalui... semoga dia juga sedar beberapa kesilapan yang sedang dia lakukan. Semoga dia tidak membelakangkan orang-orang yang penting dalam hidupnya. Mungkin sekiranya duit sebanyak itu tidak hilang, langkahnya akan lebih jauh menyasar.... mungkin duit itu akan membawa banyak kemudaratan dan musibah lain buatnya. Sememangnya jika ia masih rezeki kita, Allah akan menggantikannya dengan yang lebih baik. Bersabarlah.

            Sebelum itu, aku digemparkan oleh kisah, suami seorang rakan mencintai rakan kepada isterinya. Aduh, terkejut juga aku pada mulanya. Namun setiap sesuatu itu ada hikmahnya. Pada mulanya rakan itu bersangka-sangka juga kepada suami dan rakannya. Aku juga tidak lari daripada sifat berprasangka dan sakit hati kerana tidak sangka rakanku itu melayan suami rakannya sendiri. Namun setelah beberapa perkara berlaku tiba-tiba semua menjadi tenang. Rakan ini tidak mengetahui orang yang selalu berhubung dengannya merupakan suami teman kami. Dan dia mengambil langkah bijak memberikan alasan tersendiri menjauhkan diri daripada suami itu. Walaupun sebelum ini aku yakin dia sangat berbahagia dan rasa dihargai bersama lelaki itu. Rakanku pula sudah berbaik-baik dengan suaminya apabila mengetahui hal sebenar. Apapun aku yakin bahawa dalam hati ketiga-tiga rakanku itu ada kekecewaan yang disembunyikan dan dihadapi sendirian. Hati isteri mana tidak terusik apabila suami berterus-terang hendak memadukannya. Hati seorang wanita mana apatah sebagai ibu tunggal yang sudah kehilangan kasih sayang suami yang tidak sedih apabila mengetahui dia bercinta dengan suami rakannya sendiri? Dan Hati lelaki mana yang tidak terguris apabila setelah mendapat persetujuan sang isteri tetapi ditolak pula oleh kekasih hatinya?  Semuanya menimbulkan persoalan... entah siapa sebenarnya yang terluka.. 

            Banyak lagi kisah yang berlaku  dalam perjalanan hidupku tiga bulan aku tidak mencatat ini. Satu lagi tentang dia yang aku kasihi itu.... Entah kenapa sekarang ini dia dimusuhi oleh orang yang memujanya dahulu. Banyak cacian dan panggilan tidak elok melintas lalu di telingaku ini. Aku sedikit kesal. Kenapa sedemikian rupa yang berlaku. Apa kesalahan dia, aku sendiri tidak tahu. Dari dulu aku tidak melihat sebarang perubahan tentang dia... cuma kini dia agak degil sedikit. Aku pun tidak mahu terlalu terikat lagi dengan dia. Hubungan kami kini hanya rakan sejawatan dan hubungan sesama Islam.  Aku memang bisa bercerita atau berbincang dengannya kini... namun kerana aku pernah berjanji maka beberapa perkara cuba aku elakkan berlaku. Aku harap dia akan memahaminya. Aku ingin dia bahagia dan disayangi oleh yang berhak... Semoga rakannya itu akan mengubah sikap kepada dia.... itu sahaja doaku dan semoga mereka akan menjadi seperti mereka yang dulu, insyaallah... 
          Semoga catatanku kali ini masih memberikan sedikit perkongsian ilmu dan pengalaman untuk dijadikan panduan dalam menentukan keputusan atau tindakan terhadap sesuatu perkara... Insyaalllah...