Jumaat, Oktober 25, 2013

SEKADAR SEBUAH CATATAN

        Sekadar mencatat sesuatu yang tidak ada kena mengena dengan sesiapa secara langsung atau tidak langsung. Sengaja mencatat untuk melegakan hatiku sendiri. Kerana jika tidak aku luahkan, ia akan berbuku dalam hatiku ini semakin hari, hati ini bakal membengkak. Dan aku tidak bimbang untuk mencatat di sini kerana aku akan cuba untuk menjaga aib semua yang terlibat itu. Hanya suara dan luahan hati ini yang mengetahui.

       Pelik bukan? Biasanya sewaktu aku mencatat aku faham dengan apa sahaja yang aku maksudkan... tetapi selepas beberapa catatan, aku sendiri kadangkala tidak faham akan apa yang tersirat dalam sesuatu catatan ini dan atas alasan itu aku menganggap catatan ini hanyalah coretan untuk melepaskan suatu bebanan emosi yang tidak boleh kusimpan kerana ia akan menjadi nanah dan pekung itu pasti membusuk.. faham bukan maksudku ini?

      Adakalanya manusia itu akan lupa tentang tanggungjawab sebenar yang dipikul akibat dimanjakan. 

Lupa bagaimana untuk membuat keputusan waima untuk diri mereka sendiri. 

Lupa untuk menjaga hati orang lain apabila kepentingan diri diutamakan. 

Lupa andai oranglain pasti terbeban dengan pelbagai masalah yang disebabkan oleh mereka. 

Lupa untuk memberikan perhatian tetapi mengharap keprihatinan orang lain kepada dirinya

Lupa bahawa dia yang perlu menjaga atau membimbing orang lain.
Lupa akan keperluan orang lain kerana kesenangan sudah dimiliki
Lupa untuk menghargai orang lain
Lupa mengucapkan terima kasih...
dan macam-macam kealpaan dilakukan.

               Malah semua itu membuatkan orang lain sakit dan perit, sedih dan hampa, kecewa dan dukacita, dan banyak lagi kemurungan berlaku. Yang hanya mereka ketahui adalah kebahagiaan dan kebajikan untuk diri mereka sendiri... Apabila kita bertanya adilkah semua itu? Maka mereka hanya akan menjawab, bukan urusan mereka.. Sememangnya manusia itu hilang pertimbangan... Kasihan mereka kerana tidak sedar mereka sengaja membuang orang-orang lain terutamanya yang dekat dengan mereka.

       Sikap mementingkan diri sendiri tanpa disedari itu sebenarnya lebih bahaya.. Cukuplah wahai dikau yang mendera orang lain demi dirimu sendiri. Tidak akan ke mana jika sikapmu terus-terusan begitu.  Rasa gembira atas kedukaan orang lain tidak akan berpanjangan.  
       Ketika membaca pelbagai bahan motivasi dan novel, aku sering tertanya-tanya wujudkah manusia yang memakai 'pakaian' ini.. Ngeri memikirkannya... dan aku sering berdoa untuk tidak menjadi lemah sehinggakan aku akan menganiaya mahupun menyulitkan orang lain. Aduhai hati, bertenang dan bersabarlah menghadapi semua ini. Jadikan kami yang sentiasa mendapat ikhsan daripada MU..
       Entah apalah yang ada dalam minda dan benak hatinya kerana sanggup melukai oranglain waima orang yang dekat dengan dirinya. Aku yakin bukan dia tidak tahu namun dia memang sering mengabaikan semua itu. Aku juga yakin dia mengerti akan segala-gala kesusahan, perasaan, keperitan yang dialami orang lain tetapi dia dengan sengaja untuk melupakan semua itu. Bertahun-tahun akhirnya hingga kini tiada penyelesaian.

       Aku sendiri pernah berasa marah dengan semua sikap yang ada itu. Tidak pernah mereka merasakan apa yang aku sedang rasai. Perasaan apabila kita bersungguh-sungguh membantu sehingga banyak kesulitan yang terpaksa kita lalui namun dia atau mereka itu hanya ber'goyang kaki' sewenang-wenangnya. Kita bertungkus-lumus melalkukan segala kerja-kerja untuk memastikan apa yang dikongsikan itu akan memberikan kebaikan kebahagiaan bersama sedangkan dia atau mereka itu hanya tahu untuk menuding jari dan mencari kesalahan orang lain. Tiada mereka tahu bahawa apa yang kita lakukan ini, waktu ini,  ruangan ini akan seterusnya memberikan impak pada masa-masa seterusnya.   Aku sendiri hairan kerana mereka atau dia masih meminta-minta sedangkan mereka  atau dia itu yang sepatutnya, malah umpama wajib untuk memberi. Ke mana perginya ketegasan iman di hati mereka. Tidak mungkin tiada langsung. Rasa insaf, rasa simpati... Mudahnya hidup macam parasit seperti pokok yang menumpang kepada pokok yang lain.. benda itu tiada akarkah... bagaimana jika hendak memaut jika tiada elemen untuk menghubungkan.  Pokok duit-duit misalnya... mungkin melekap kepada pohon yang besar maka sedikit sahaja ia menumpang segala keperluan sedangkan  ada pokok-pokok menumpang itu akhirnya membunuh pohon induk itu... Mengapalah mereka tidak memikirkan semua itu. Allah.... sedihnya hati ini! Disedarkan pun namun tidak mahu sedar-sedar...

       Hatiku ini sebenarnya sedih mengenangkan mereka sekelilingku ini tidak mahu berubah dari takuk lama yang mereka selesa sangat tunggu segala-gala mendatang dengan sendirinya. Apa lagi yang ditunggu sehingga apabila kita sedar, rupa-rupanya kita sudah terlambat. Aku sendiri selalu mendoakan kalian. Kita berubahlah walaupun sedikit sekali perubahan itu... walaupun terlalu murah harganya... namun apa yang kita kumpulkan itu pasti akan memberikan kesejahteraan buat kita. Hanya orang yang rugi sahaja yang tidak mahu berubah.. Sampai bila kita hendak menjadi orang yang sentiasa rugi dan serba tiada berbanding dengan oranglain.

        Sedarlah jika orang menyediakan segala-galanya untukmu dan kamu tidak tahu bagaimana hendak mendapatkan semua itu dengan sendirinya, maka apabila pemberi itu tiada ... kamu akan hancur dan jatuh.. siapa yang akan membangunkan dirimu? Kamu sendiri... maka sedarlah selagi ada masa untuk berusaha ketika ini teruskan usaha untuk beredar daripada takuk lama yang sangat selesa itu. Hidup kita ini seumpama sebuah roda. apabila berpusing, terkadang kita di atas dan terkadang kita di bawah. Kegemilangan hari ini mungkin akan menjadi kemusnahan hari esok dan begitulah sebaliknya... dan semua itu akan  lebih memudaratkan apatah lagi jika hanya bergantung kepada ehsan orang lain.

       Hakikatnya, kita semua perlu tahu peranan dan tanggungjawab masing-masing. Kita mesti arif dengan segala apa yang kita ada. Memang ada yang mengatakan, kita selalunya tidak sedar akan keburukan diri sehingga ada orang lain yang memberitahu kita. Namun kita juga bukan bodoh untuk menilai dan menentukan hala tuju kita.. hala tuju untuk kebaikan diri sendiri mahupun orang lain.  Berfikirlah.... berfikir sesaat itu lebih baik daripada menunaikan solat sunat seribu rakaat. Dan berbuatlah sesuatu selepas itu... Setiap kali aku mengenangkan hal-hal ini aku sering memuhasabah diri... kenapa aku dibebankan dengan segala kerumitan ini. namun jauh di sudut hati ku ini, aku sentiasa bersyukur kerana dengan segala ujian ini disertakan nikmat dan hikmah pada akhir. 
      Memang aku selalu sedar akan segala-gala pengalaman yang aku lalui itu adalah ilmu yang sangat berguna dan membolehkan aku membentuk jati diri kendiri yang lebih tabah dan menjadikan aku lebih kuat. Indahnya lukisan yang Allah lakarkan buat diri ini...

      Semoga aku tidak alpa dengan kebaikan yang banyak aku perolehi selama ini... dan semoga mereka yang aku kenali mahupun yang sangat aku sayangi itu akan dapat membuka mata, membuka minda dan membuka hati mereka untuk berubah dengan ikhlas. Bukan kerana aku, bukan kerana orang lain... semoga kita bukan dalam golongan yang rugi selama-lamanya... biarlah lambat daripada tiada apa-apa yang berlaku. Cukuplah kita menganiayai diri sendiri dengan meletakkan semua yang kita punya pada bahu orang lain... Ya ALLAH, bantulah kami melalui dengan ikhlas dan semoga impak yang akan kami peroleh dapat menyenangkan dan menggembirakan semua yang ada di sekeliling kita.
         Buat kalian yang aku maksudkan, maaf kerana menyebutnya di sini... namun aku memang ingin kalian sedar dan berubah. Kita tidak akan rugi apa-apa pun. Semoga kita akan lebih baik dalam tegur-menegur, nasihat-menasihati, sayang-menyayangi... dan sentiasa saling memperbaiki diri dengan niat kerana Allah yang Maha Penyayang dan Maha mengasihani..

              Hatiku ini kian tenang. Memang terapi mudah jika kita boleh menulis ini. Namun bukanlah tiket untuk kita membuka aib orang lain. Kita ada adab dan tatasusila yang perlu kita amalkan dalam kehidupan kita ini.  Maka insyaAllah sikap baik itu akan menjadikan akhlak kita terpelihara sebaiknya.
            Aku pohon maaf jika ada yang membaca catatan ini lalu dia berkecil hati. Jika teguran ini kasar, ikhlaskan untuk menerima teguran ini secara positif.
Jika apa yang aku catat dalam laman ini menyakitkan hatimu, redhakanlah setakat kemampuan itu. Dan, sebagai seseorang yang mengerti, berubahlah untuk kebaikan dirimu sendiri...bukan orang lain. Muhasabahlah..

Ahad, Oktober 13, 2013

SALAM EIDUL ADHA... Semoga kerinduan itu akan terubat lagi...

LABAIKALLAH HUMALABAIT... LABAIKALLA SHARI KALAKALA BAIT...INNAHAMDA WA NIKMATA... LAKAWALMULK LA SHARIKALA...

      Entah betul atau tidak ejaan yang kucatatkan di atas, namun setiap yang pernah menjejakkan kaki ke sana pasti sering melafazkannya...malah apabila tiba musim haji pasti ucapan ini meniti di bibir ramai orang pelbagai peringkat umur..selain takbir yang berkumandang selama beberapa hari pada Eidul Adha yang kita raikan bersama-sama.
      Dan sebenar-benarnya, saban tahun mendatang menambahkan lagi kerinduan di hati ini untuk ke sana lagi. Ya Allah... permudahkanlah aku menjadi tetamuMU lagi di sana.  Aku memang tak dapat menyangkal kelemahan diri ini. Berasa sayu di hati ini apabila masuk bulan Zulhijjah... Aku pun selalunya jarang menziarahi mereka yang ingin menunaikan haji ini, aku akan selalu menangis sendiri... hati ini sentiasa sedih kerana tak tahu bilakah lagi akan menjadi tetamu ALLAH... sama ada menunaikan ibadah haji mahupun umrah. Mungkin ada yang berkecil hati denganku kerana sikap itu tetapi inilah aku yang tak mampu memendam kesayuan hati ini... aku rasa resah dan terlalu sedih lantas lazimnya aku akan mengalirkan air mata.. Dahulu ketika aku menunaikan ibadah ini, aku dalam penerbangan KT13... maksudnya berangkat awal ke sana, pergi ke Madinah terlebih dahulu...kemudian ke Mekah.. Membuat haji Tamattuk. Aku sememangnya amat bersyukur... Jika sudah rezeki aku. Pendaftaran pada hari terakhir, selepas waktu pejabat baru semuanya selesai.  Terima kasih kepada Tn Hj. Abdullah... Pengurus Tabung Haji Daerah ketika itu kerana sabar menanti urusan pengesahan pemeriksaan kesihatan selesai seterusnya mendaftarkan aku untuk urusan haji bersama-sama kedua-dua orangtuaku.. Alangkah manisnya ketika itu... sedangkan duit tambang pun belum lagi cukup untuk aku ke sana. Almaklum simpanan yang sedikit pada waktu aku belajar tidak membolehkan aku menyimpan banyak... bekerja pun baru dua tiga tahun. Pengesahan jawatan pun belum dapat..


     Ketika aku berlepas ke Tanah Suci, surat pelepasan daripada Ketua Jabatan pun belum aku terima. Ketua tempat aku bertugas berkata,"...pergilah, jawapannya akan sampai nanti!" dan aku nekad dengan pemergian itu. Sudah rezeki menjadi tetamu Allah pada usia muda dan serunya telah sampai sehinggakan semua urusan aku selesai sebaik sebelum aku meninggalkan rumah bapa  termasuk persiapan untuk berada di sana yang aku sediakan hanya dalam masa dua hari. Dan Alhamdullillah semuanya dipermudah sehingga duit tambang dan pengurusan di sana dapat dilaksanakan dengan baik. Begitu juga dengan duit perbelanjaan di sana. Indah sungguh kenangan itu, dan aku tidak sekali-kali melupai kenangan itu selama-lamanya.
      Siapa sangka aku yang tidak cukup pengetahuan agama, yang masih seronok dengan hiburan dunia, yang masih asyik dengan keindahan hidup muda, yang tidak punya apa-apa harta dan kurnia ini... Allah permudahkan perjalanan aku itu dengan menjemputku ke baitullah, Subhanallah... terima kasih Allah menerimaku ke rumahMU..


     Namun aku juga diuji dengan pelbagai hal dan pengalaman. Betapa bertuah diri ini aku rasakan. Dengan serba kekurangan ini Allah menerima aku sebagai seorang tetamu... Seingat aku, aku tidak pernah menghafal pun apa-apa bacaan yang khusus tentang ibadat tersebut. Aku hanya memastikan bahawa semua rukun haji aku laksanakan. Banyak peristiwa indah yang aku lalui dan aku peroleh... Allah, sukar untuk aku ceritakan.  Tahun itu, 1993 aku ke sana dengan cuti tanpa gaji tetapi aku tiada masalah dengan semua itu. Cuma aku diuji dengan rasa cinta dan kasih sayang sesama manusia yakni hamba demi menyakinkan aku kepada cinta kepadaNYA.  Allah.... di sana aku mengenal pelbagai jenis cinta demi cinta kepada Allah.  Sepasang suami-isteri yang saling mencintai dan membawa bahagia itu ke sana. Jemaahku disertai kumpulan yang pelbagai. Ada seorang isteri yang solehah yang amat mencintai suaminya dalam kumpulanku ini, walaupun pada usia lanjut...cinta mereka tidak berubah. Si isteri masih taat dan kasih kepada yang suami biarpun sang suami sudah tempang dan tidak sempurna... malah si isteri pula menanggung segala-gala susah payah untuk membolehkan suaminya mendapat haji mabrur.. Aku hidup dalam kalangan mereka... aku terharu kerana dengan izin suaminya, sang isteri turut berbakti kepada usaha orang lain. Kerana cintanya kepada sesama saudara muslim, suami yang tempang itu membantu sang isteri membantu sahabatnya ke semua tempat untuk menunaikan ibadah... 
          Allah juga memperlihatkan betapa Allah menyerlah niat dan hati sebenar seorang isteri yang lain terhadap suami... perkahwinan yang hanya untuk harta benda dan apabila sampai ke tanah suci ini, isteri itu leka dengan duit dan mencari keperluannya... sehinggakan sang suami yang sakit diabaikan.. aku melihat bagaimana si suami diherdik dan dimaki hamun, namun tetap sabar sehingga segala kebajikan si suami yang sakit terpaksa diuruskan semua ahli jemaah yang bersimpati... Allah Maha Kaya memberikan kekuatan pada kebanyakan kami... cuma sedihnya, hajat si suami untuk menghembuskan nafasnya di sana tidak kesampaian.  Sesampainya kami di tanah air, barulah pak cik itu menghembuskan nafasnya yang terakhir... sedih hatiku mengenangkan nasib si isteri yang tak pasti telah mendapat kemaafan atau sebaliknya daripada suaminya itu... kerana aku pernah terdengar pak cik tersebut menyebut yang dia kesal dengan isterinya itu dan tidak dapat memaafkan isterinya kerana dianiayai sedemikian rupa. Aku sebenarnya tidak mengerti namun difahamkan dia mengahwini isterinya kerana sesuatu yang tidak baik dilakukan oleh isterinya.  Semua itu diketahui semasa si isteri memaki hamun sang suami.


      Aku sendiri diuji dengan 'Love in first sight'... mungkin kerana sifat angkuhku ketika didoakan oleh cinta pertama ku sebelum itu. Zaki Malasie, nama samarannya.... pernah mendoakanku bertemu dengan seorang lelaki yang baik sepanjang aku di tanah suci... katanya, aku punyai segala-gala yang diharapkan pada seorang wanita... maka aku layak mendapat seorang lelaki yang terbaik... Dia cinta pertamaku kerana aku sudah ada dia sejak usiaku 8 tahun lagi... dia yang mengajarku erti rindu, erti sayang, erti cinta dan erti pengorbanan. Dan aku selalu ingin setia padanya. Sehingga satu ketika pada awal usia 16 tahun kami berjanji untuk menunaikan ibadah haji bersama-sama suatu masa kelak apabila kami menjadi suami-isteri. Namun hajat itu tidak kesampaian apabila dia berkahwin dengan orang lain. Aku hanya ingin meminta maaf sebenarnya. Namun apabila dia beromantika mengenangkan janji kami bersama dan mengungkit sikap aku yang seperti tidak menyayanginya, aku mula rasa hangat hati... sehingga aku menjawab, aku ke sana bukan hendak mencari laki...
      DAN, Allah menguji aku dengan menghadirkan seorang lelaki yang membuatkan hati ini tertarik pada pertemuan pertama kami. Namun kerana ego dan rasa yakin ibadahku hanya kepada menunaikan haji maka semuanya aku abaikan... tiada apa yang aku lakukan sekadar bertemu dengannya setiap hari di muka pintu lif hotel tempat menginap aku di sana... hanya sekali kami berbicara dan aku yakin dengan perasaanku ini. Maka selepas semua ibadah wajib aku selesaikan, rukun haji aku sempurnakan, baharulah aku memulakan langkah namun aku terlambat kerana masa yang ada dan kesibukannya menjadi halangan.  
      Namun siapa sangka dengan bertopengkan lelaki itu, aku rupa-rupanya dicintai oleh seorang 'jin' yang sering hadir di mataku menggunakan wajah yang aku rindui itu.... kerananya aku terlupa kepada rasa cintaku kepada seorang lelaki lain bukan Zaki di tanah air... dia dan juga rakannya yang mengharapkan cintaku (jika boleh dikatakan cinta)..


      Sememangnya bukan semua 'bertuah' seperti aku ini... dicintai oleh seorang jin yang berasal dari Mekah..  Sentiasa dibuai rasa, sentiasa rasa bahagia setiap masa... merinduinya sentiasa. Puas aku mencarinya dengan harapan dia ada di tanah air. Aku tidak pernah membukakan hati ini kepada mana-mana lelaki walaupun yang ingin mendampingi banyak sekali... Perasaan aku kepada 'dia' begitu mendalam sehingga aku melukakan hati-hati yang ingin dekat kepadaku... hampir sepuluh tahun aku mendambakannya dengan harapan dan impian hidup bersama-samanya.. dan mungkin inilah juga sebabnya aku akan rasa terharu dan sayu apabila mengenangkan peristiwa itu... Indahnya aku ke sana dicalari dengan ujian cinta kepada seorang jin yang menyamar manusia.

        Apapun sememangnya jika disenaraikan indahnya pengalaman itu aku masih ingat satu persatu... lucu ketika arwah bapa tersesat selepas balik melontar hanya kerana memperlekehkan aku dan emak dengan mengatakan orang perempuan suka sangat melengahkan masa dan lambat bertindak. Walhal ketika itu kami dinasihatkan oleh Lembaga Tabung Haji untuk melontar pada waktu-waktu ditetapkan... Setelah selesai melontar dan kembali ke tempat menginap yang benar-benar hampir dan boleh nampak Jamratul Aqabah itu, bapa tidak sampai-sampai dan akhirnya aku minta pertolongan ketua jemaah dan rakan-rakan jemaah mencari bapa... setelah beberapa jam, baharulah bapa kembali namun dengan muka selamba dia bercakap, jangan ketawakan aku, aku sesat... itulah sombong sangat, astagfirullah al-azim... Maka tidak semena aku dan emak ketawa sebab terkejut dengan pernyataannya itu... ditambah aku terkejut bapa sudah botak.. Kami tanya kenapa bapa botak awal sangat...pada tahalul awal. Dan jawabnya... semasa selasai melontar, bapa tak dapat cari jalan pulang... semuanya sama... yang bapa nampak hanya orang yang mengambil upah mencukur kepala... pada setiap jalan bapa bertemu orang yang sama... dan akhirnya bapa pun ambil keputusan bercukur, sambil beristigfar dan mengingat kembali kesilapannya... sambil bercerita bapa menggosok-gosok kepalanya yang botak... dan katanya barulah kepalanya ringan... semua di situ pecah ketawa mendengarkannya.. sayunya hati apabila bapa memelukku dan meminta maaf kepadaku. Bapa tidak ada salah apa-apa kepadaku pun tapi bapa sendiri rasa bersalah. Bapa kata kepadaku, janganlah terdetik dalam hatiku dan mindaku harapan melampau dan mendoakan yang tidak baik kerana katanya kata-kata aku 'masin', apa yang aku katakan Allah terus perkenankan... Allah, begitu tanggapan bapa kepada aku... hanya kerana aku kata aku teringin sekali merasai hujan di mana-mana sahaja bumi suci ini aku pijak... dan ketika aku sampai ke Jeddah, Madinah, Mekah, Arafah dan ketika itu di Mina... di bumi itu aku pijak berserta dengan hujan turun tidak semena-mena biarpun sekejap... Allahu Akbar, tidak dapat aku bayangkan semua itu..


     Jika kalian membaca ini, tentu menyatakan betapa pula aku riak dengan semua ini. Apa yang boleh aku nyatakan sekiranya apa yang aku alami di bumi suci itu adalah yang manis belaka.Tiada kedukaan, yang hanya ada pengalaman duka orang lain yang diperlihatkan di hadapanku. Aku bahagia dan gembira berada di sana, sehingga aku pernah menyimpan hasrat dan ingin mencari orang sana, berkahwin dan menetap di sana. Kesal juga rasanya tidak menerima kasih yang ditawarkan oleh anak tuan punya hotel kami menginap di Mekah. Dia yang selalu memanggilku, "Ya Siti Rahmah, Ya ukti, Ya Jamilah...". Mengawasi aku sepanjang hari-hari aku di hotel ketika Allah Bagi Cuti selama 5 hari itu... menemani aku ke lobi hotel untuk membeli barangan dan kemudian mengiringi aku naik ke bilik hotel dan setelah memastikan aku selamat, barulah dia turun ke lobi semula. Dia memberikan nombor untuk dihubungi... namun ketika aku pulang ke tanah air aku tidak dapat mengucapkan terima kasih kepadanya kerana dia ada kerja luar. Namun itu semua kenangan indah yang bersifat sementara.  Hari ini kenyataannya aku sangat merindui untuk berada di sana lagi... lama jika boleh. Harapan aku aku diberikan peluang menikmati rasa cinta ini berkali-kali... cinta kepada apa sahaja yang dikurniai Allah kepadaku. Ya Allah, mudahkanlah aku ini ya Allah ke rumahMU lagi...